S.M Faisal pukul Emilia secara berterusan - Saksi - Utusan Malaysia

S.M Faisal pukul Emilia secara berterusan – Saksi

S.M FAISAL S.M Nasimuddin hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes mencederakan Emilia Hanafi. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu, Emilia Hanafi pernah bercerita kepada adiknya bahawa dia selalu dipukul oleh suaminya ketika itu, Datuk S.M. Faisal S.M Nasimuddin secara berterusan selama tiga hingga empat tahun.

Elisa Nani Hanafi, 38, berkata, sepanjang kejadian berlaku tujuh tahun lalu, Emilia tidak pernah menceritakannya kepada sesiapapun dan meminta ia dirahsiakan.

“Pada 20 Oktober 2015, dia (Emilia) memberitahu saya bahawa dia telah secara fizikal dipukul oleh Faisal (S.M Faisal) dan berkongsi foto melalui WhatsApp.

“Emilia memberitahu saya bahawa ia berlaku selama tiga hingga empat tahun (2011 hingga 2015) dan masih berterusan.

“Dia tidak memberitahu orang lain, dia tidak mahu orang lain tahu dan meminta saya merahsiakannya,” kata saksi pendakwaan keenam (SP6) itu.

Pada masa sama Elisa Nani dalam pernyataan saksinya juga mengesahkan pernah menerima gambar melalui WhatsApp daripada Emilia yang menunjukkan kesan lebam pada paha dan tangan.

Tambah saksi itu, selain dipukul, kakaknya juga pernah menceritakan S.M Faisal (kini bekas suami) pernah melempar pinggan sehingga pinggan itu berkecai.

Saksi berkata, insiden berlaku apabila Emilia menyediakan makanan sihat iaitu salmon bersos lemon, avocado, buah zaitun dan bayam kerana mengetahui S.M Faisal sedang berdiet.

EMILIA Hanafi hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi mengikuti perbicaraan kes pukul melibatkan bekas suami, S.M Faisal S.M Nasimuddin. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF

“Apabila makanan dihidangkan, Faisal (S.M Faisal) melempar pinggan ke arah Emilia dan pinggan itu berkecai.

“Faisal juga mencampak Emilia ke lantai beberapa kali, selain mengoyakkan kad hari jadi dan mengunci bilik tidur mereka yang terletak di tingkat tiga, supaya Emilia tidak boleh masuk,” kata saksi itu.

Terdahulu ketika membaca pernyataan saksinya, Elisa Nani turut berkata, selepas Emilia memberitahu tentang masalah rumah tangganya itu, sebagai adik dia telah menasihatkan kakaknya itu supaya tidak berputus asa.

“Saya memberitahunya, dia (Emilia) berkahwin dengannya (S.M Faisal) dan jika dia memutuskan untuk memperjuang dan menyelamatkan perkahwinan dia tidak harus berputus asa.

“Saya memberi jaminan akan menyokong tidak kira apa keputusannya,” kata saksi itu.

Pada prosiding lalu, saksi itu memberitahu, S.M Faisal merupakan satu-satunya teman lelaki kakaknya sewaktu zaman persekolahan sebelum kedua-duanya berkahwin pada 2004.

Emilia dan S.M. Faisal yang ketika itu berusia 15 tahun dan masih bersekolah, berkenalan melalui Ezhan yang merupakan adik lelaki mereka (Emilia dan Elisa) ketika mereka bermain kasut roda.

Dalam pernyataan saksinya, pembekal makanan persendirian itu turut menggambarkan bibit-bibit awal perkenalan Emilia dan S.M. Faisal dan keakraban hubungan kekeluargaan di antara kedua-duanya selama bertahun-tahun.

Elisa Nani malah menceritakan hubungan baiknya dengan ibu S.M. Faisal, Puan Sri Zaleha yang dipanggilnya ‘Aunty Z’, ‘Aunty Leha’ atau ‘Mak’ yang sering mengalu-alukan kehadiran mereka selain sering meluangkan masa bersama-sama melakukan aktiviti keluarga.

Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, (yang ketika itu masih isterinya) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, manakala S.M. Faisal diwakili oleh peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 5 Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya