PETALING JAYA: Pelakon, Beto Kusyairy mendedahkan bahawa naskhah lakonannya, Imaginur merupakan skrip yang paling banyak dicoret dengan contengan nota sepanjang penglibatan kerjayanya dalam dunia seni perfileman.
Beto atau Nurkusyairy Zakuan Osman, 46, berkata, tindakan menulis nota pada sesebuah skrip adalah perkara biasa bagi seorang pelakon bagi memahami matlamat setiap babak.
“Setakat ini, skrip yang paling berlambang saya conteng adalah Imaginur sehinggakan keadaannya agak bersepah. Skrip ini termasuk dalam senarai terbaik sepanjang karier saya,” katanya.
Tambah pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32 ini, setiap pelakon mempunyai kaedah tersendiri dalam menguruskan skrip masing-masing selepas tamatnya sesuatu sesi penggambaran drama atau filem.
“Tidak akan dipulangkan balik dan selepas selesai, mahu simpan atau buang itu terpulang kepada masing-masing. Skrip itu jantung.
“Ada yang penuh dengan contengan nota, penanda, butiran kesinambungan dan perkara yang lain. Bagi saya, cuma nota minimum pada babak yang dirasakan perlu sahaja.
“Kadang-kadang tiada langsung coretan kerana saya mahukan keaslian dalam lakonan. Yang penting kefahaman dan tahu matlamat setiap babak,” katanya.
Beto berkongsi perkara tersebut bagi menjawab persoalan serta kekeliruan dalam kalangan peminat di media sosial yang tertanya-tanya mengenai status dan pengurusan skrip lakonan selepas sesebuah filem selesai menjalani penggambaran.
Untuk rekod, Imaginur merupakan filem percintaan fiksyen sains arahan Nik Amir Mustapha yang mengisahkan tentang Zuhal, seorang lelaki yang cuba membina semula ingatannya yang hilang melalui kaedah hipnosis, sehinggakan dia mula hanyut antara realiti dan dunia imaginasi demi mencari wanita impiannya.










