Amaran tsunami: Ibu bapa dibenar ambil anak, PDP sesi petang ditangguhkan

Amaran tsunami: Ibu bapa dibenar ambil anak, PDP sesi petang ditangguhkan

TINJAUAN di beberapa sekolah mendapati ibu bapa mula hadir bagi mengambil anak masing-masing susulan amaran tsunami yang dikeluarkan. - UTUSAN/ NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Ibu bapa dibenarkan mengambil anak masing-masing dari sekolah selepas amaran tsunami dikeluarkan hari ini, sekali gus menyebabkan sesi persekolahan ditangguhkan sebagai langkah keselamatan oleh pihak berkuasa.

Berdasarkan notis yang diedarkan pihak sekolah, pengajaran dan pembelajaran (PDP) bagi sesi pagi ditangguhkan, manakala semua pelajar sesi petang tidak dibenarkan hadir ke sekolah sebagai langkah keselamatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah mendapati ibu bapa mula hadir untuk mengambil anak masing-masing selepas menerima makluman berhubung penangguhan itu.

Faisyal Kassim, 47, berkata, dia menerima makluman daripada pihak sekolah pada kira-kira pukul 10 pagi supaya mengambil dua anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah Raya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, di sini.

“Saya turut merasai gegaran pagi tadi. Beberapa minit kemudian, saya menerima mesej melalui kumpulan WhatsApp sekolah yang meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing.

“Ibu bapa diminta ambil anak di dalam kelas masing-masing bagi keselamatan mereka.

“Masa menerima pesanan itu, saya berada di bandar Tawau dan terus bergerak ke sekolah untuk mengambil anak-anak,” katanya ketika ditemui di luar sekolah.

Sementara itu, Sitti Bandu, 50, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di daerah ini turut hadir ke sekolah untuk mengambil anaknya selepas menerima makluman mengenai penangguhan sesi persekolahan.

Katanya, syarikat tempatnya bekerja turut ditutup susulan amaran tsunami berkenaan.

“Syarikat kami turut ditutup. Selepas menerima mesej dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa, saya terus datang ke sekolah untuk mengambil anak.

“Memang panik ketika gegaran berlaku kerana gegarannya sangat kuat dan jelas dirasai. Saya sampai rasa mahu menangis,” katanya.

Pihak sekolah memaklumkan, perkembangan berhubung pelaksanaan sesi PDP bagi esok dan hari berikutnya akan dimaklumkan kemudian.

Tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di daerah ini, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina, pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN