JAKARTA: Indonesia mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan utara yang berisiko dilanda ombak tsunami pada Isnin selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Filipina sehingga mengakibatkan seorang maut.
Pegawai di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi termasuk ibu negeri Sulawesi Utara, Manado, wilayah utara Gorontalo dan Kepulauan Sangihe Islands diarahkan supaya segera mengarahkan penduduk berpindah secara teratur ke kawasan yang lebih tinggi, menurut kenyataan agensi pengurusan bencana nasional Indonesia.
Agensi itu berkata, gegaran tersebut dirasai secara lemah selama dua hingga tiga saat di kawasan terjejas dan keadaan di lapangan ketika ini adalah selamat, tenang dan terkawal.
“Orang ramai diminta supaya tidak panik, mengutamakan keselamatan kumpulan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak serta sentiasa mematuhi arahan rasmi,” kata jurucakap agensi itu, Abdul Muhari.
“Penduduk juga diingatkan supaya tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat yang belum disahkan dan sentiasa merujuk kepada kemas kini data rasmi daripada agensi berkaitan serta petugas di lapangan,” tanbahnya.
Indonesia kemudian menarik balik amaran tsunami beberapa jam selepas mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan utara yang terancam ombak tsunami susulan gempa bumi itu.
Amaran tsunami itu telah berakhir empat setengah jam selepas dikeluarkan, menurut laman web Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG).
Indonesia dan negara-negara jiran kerap mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan aktiviti seismik yang sangat aktif yang membentang dari Jepun merentasi Asia Tenggara hingga ke lembangan Lautan Pasifik.
Pada tahun 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud melanda wilayah paling barat Indonesia, Aceh, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 170,000 orang di Indonesia. – AFP










