RC, VEP diperluas di sempadan Thailand atasi isu kereta klon

RC, VEP diperluas di sempadan Thailand atasi isu kereta klon

ZAILANI Hashim menunjukkan kereta yang disita dalam Op Ulat di Balai Ketibaan KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhasrat melaksanakan Caj Jalan (RC) dan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan Thailand dalam masa terdekat.

Perkara tersebut disuarakan Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim dalam usaha tegas membanteras kegiatan kereta klon yang dibawa masuk dari negara jiran berkenaan.

“Insya-Allah kita akan memperluaskan sistem ini di semua pintu masuk sempadan dengan Thailand pula selepas berjaya dibuat di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas melaksanakan Operasi Ulat  (Op Ulat) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, RC dan VEP yang selama ini dilaksanakan di dua pintu sempadan dengan Singapura berjaya mengekang kemasukan kereta klon dari republik itu.

“Sebelum ini banyak kes dari Singapura sebab pemilik di sana wajib lupus kereta selepas genap usia 10 tahun bagi elak bayar COE (sijil pemilikan) yang jauh lebih mahal,” katanya.

Pelaksanaan COE yang amat tegas di Singapura dilakukan untuk memastikan jalan raya di sana tidak sesak, kurang pencemaran karbon dan tiada pemandangan imej kereta buruk.

Dasar ketat pemerintah republik itu namun mengakibatkan kereta lama diseludup ke Johor dan Batam, Indonesia kerana masih berkeadaan baik dengan jarak perbatuan yang rendah.

Menyentuh keberkesanan RC dan VEP yang diperkenalkan pada 2019 lalu, beliau berkata, sistem itu memastikan kenderaan asing balik ke negara mereka selepas tempoh tertentu.

Kaedahnya ujar beliau, seperti pasport antarabangsa dan kenderaan yang berpendaftaran luar negara itu tidak boleh masuk ke Malaysia jika permitnya kurang tempoh luput tertentu.

“Langkah itu juga dijangka mampu mengatasi kegiatan klon yang asalnya ialah kenderaan asing sengaja dibawa masuk dan dijual harga murah di pasaran Malaysia pula,” jelas Zailani.

Namun pelaksanaannya di Johor, menyaksikan permintaan kereta dari Thailand menjadi pilihan baharu kerana kenderaan negara itu belum dikenakan RC dan VEP pada masa ini.

Menyentuh isu Pasukan Tindakan Khas JPJ bagi memerangi kenderaan klon dan aktiviti tonto, beliau mengesahkan unit berkenaan sebenarnya masih tetap beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan secara terperinci mengenai skuad tersebut dan menegaskan pihaknya tidak gentar dengan sebarang ancaman dan ugutan penjenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya