PUTRAJAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 16” yang dilaksanakan secara ‘hybrid’ pada 22 Disember 2022 baru-baru ini.
Webinar bertemakan “Women In Search of Excellence” anjuran Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia pada kali ini membawa tajuk ‘Wanita Dalam Pasaran Buruh: Dilema dan Peluang” di mana beberapa ahli panel undangan telah dijemput untuk mengupas topik melalui dua sesi forum dan juga sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Penasihat Diraja YTF dalam titah ucapan perasmian menitahkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di segenap peringkat bagi memperkasakan wanita dengan meneroka potensi masing-masing terutama dalam sektor ekonomi dan mengarusperdana gender dalam setiap perancangan dan dasar kerajaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra amat berharap agar golongan wanita akan terus diberi peluang dalam aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan juga politik supaya kesamarataan gender dalam pembangunan dan transformasi negara dapat terus dipertingkatkan.
Tambah baginda, pihak majikan sama ada di sektor awam atau swasta, perlu lebih sensitif akan keperluan wanita dalam melaksanakan pelbagai tugas di tempat kerja, dan meneruskan tugas sebagai seorang isteri dan ibu pula di rumah”.
Sesi penutupan webinar tersebut pula telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF.
Webinar YTF ini diadakan pada setiap bulan secara atas talian dengan kerjasama pelbagai agensi dan organisasiyang turut serta menganjur dan menjayakan webinar ini dalam mempromosikan peranan wanita serta memperkasakan lagi bakat wanita, di mana panel-panel jemputan terdiri daripada golongan wanita sendiri. – UTUSAN










