Projek LCS diteruskan - Mohamad Hasan

Projek LCS diteruskan – Mohamad Hasan

MOHAMAD Hasan ketika hadir pada Majlis Graduasi MKN dan MPAT dan MTAT Tahun 2020 di PUSPAHANAS, Putrahaya. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan tetap diteruskan biarpun sukar untuk dilaksanakan dan taklimat lanjut mengenainya dibuat dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau terlebih dahulu akan mendengar taklimat mengenai projek itu daripada pihak-pihak berkenaan.

Beliau berkata, ia penting bagi membolehkan beliau melihat sendiri latar belakang projek itu serta apa isu di sebalik projek berkenaan.

“Kami akan pastikan kapal-kapal ini akan dapat dibina. Jangan cakap lagi pasal perkara yang lepas tetapi apa yang kita akan capai kerana ia aset strategik pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Tahun 2020 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini hari ini.

Mohamad berkata, beliau akan berusaha bersama-sama kepimpinan Kementerian Pertahanan dan memohon kerajaan meneliti dengan baik supaya kapal-kapal ini dapat dibina dalam keadaan terbaik.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memaklumkan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan fasa mobilisasi projek LCS selama enam bulan bermula Jun menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.

Ditanya mengenai isu kebajikan ATM terutamanya elaun, veteran dan perumahan, Mohamad berkata perkara itu juga akan diteliti dengan baik berdasarkan kemampuan kewangan negara.

“Dalam keadaan banyak orang kata akan berdepan kemelesetan ekonomi tahun depan, kita akan beri keutamaan kepada mana yang ada dan kita susun atur sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya