Pembatalan perolehan peluru berpandu NSM tidak jejas penerimaan LCS

Pembatalan perolehan peluru berpandu NSM tidak jejas penerimaan LCS

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembatalan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) yang dibangunkan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) tidak menjejaskan penerimaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijadualkan pada Disember ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, masalah yang timbul hanya melibatkan komponen peluru berpandu dan tidak dijangka menjejaskan keseluruhan kemajuan program pembinaan kapal perang tersebut. 

Menurut beliau, bagaimanapun kerajaan akan menilai sistem persenjataan lain sebagai ganti kepada NSM untuk dilengkapkan pada kapal TLDM.

“Terdapat dua kontrak utama yang terlibat, satu untuk keperluan kapal LCS dan satu lagi bagi kapal kelas frigat iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat  dengan keseluruhan nilai melebihi RM600 juta. Namun begitu, kita telah pun membayar kira-kira 95 peratus daripada kos tersebut.

“Walaubagaimanapun, saya percaya perkara ini tidak akan menjejaskan keseluruhan projek dan yang penting proses penggantian kepada sistem baharu itu tidak menjejaskan jadual penghantaran kapal LCS yang dijangka akan dilaksanakan pada Disember nanti,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Peluncuran Program ProWira Ready To Work Graduate dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal pertahanan melaporkan, Norway membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran peluru berpandu NSM yang dibangunkan KDA, sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Malaysia.

Difahamkan, keputusan untuk menghentikan penghantaran peluru berpandu NSM itu telah dimaklumkan kepada Mohamed Khaled dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April, iaitu hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, beliau akan ke Lumut, Perak pada Selasa depan bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci berhubung perkembangan semasa projek berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN