PFP dijenamakan semula, Razalif dilantik Presiden baharu - Utusan Malaysia

PFP dijenamakan semula, Razalif dilantik Presiden baharu

RAZALIF Mohd. Zain (kanan) dan Patrick Ooi dalam sidang akhbar mengenai penjenamaan semula PFP di George Town, Pulau Pinang hari ini. - PIX: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penang Front Party (PFP) yang sebelum ini dipengerusikan oleh Datuk Patrick Ooi kini dijenamakan semula menerusi pelantikan Presiden baharu, Razalif Mohd. Zain.

Patrick yang menerajui PFP selama enam tahun akan berperanan sebagai penasihat parti itu selepas menyerahkan jawatan tersebut kepada Razalif dalam satu majlis di pejabat parti itu di Jalan Kedah, di sini hari ini.

Razalif yang merupakan bekas calon Bebas kerusi Parlimen Bukit Bendera berkata, PFP menerusi penjenamaan semula akan memberi fokus kepada golongan muda memandangkan golongan berkenaan merupakan antara pengundi baharu paling ramai di negara ini.

”Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terdapat kira-kira 4 juta pengundi muda, namun kira-kira 2.5 juta daripada mereka tidak keluar mengundi kerana tidak tahu parti mana yang mahu dipilih.

”Oleh itu, PFP menerusi penjenamaan semula mahu mendekati golongan muda terutama mereka yang di dalam kelompok-kelompok tertentu seperti golongan mat rempit dan lain-lain kumpulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

PFP ialah sebuah parti politik berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan pada September 2016 oleh Lee Poh Kong yang menjadi pengerusi penaja.

Parti itu kemudian dihidupkan semula oleh Patrick Ooi pada Mei 2017 dan bertanding dalam PRU-14 dan PRU-15, namun kalah dalam semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Razalif berkata, bagi memastikan PFP dikenali di peringkat nasional selepas ini PFP mungkin akan ditukar nama sebagai Youth Front Party, namun perkara itu akan diumumkan kemudian.

”Sebelum ini, ramai orang menyangka PFP adalah parti untuk rakyat Pulau Pinang sahaja sedangkan ia adalah parti untuk semua tanpa mengira negeri.

”Jadi untuk memastikan PFP lebih dikenali diperingkat nasional, logo dan nama PFP akan ditukar mungkin sebagai Youth Front Party, kita akan maklumkan perkara ini kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, Razalif berkata, pada masa ini PFP berjaya mengumpul kira-kira 5,000 ahli baharu di Sabah dan kira-kira 5,000 lagi ahli di Perak.

“Setakat ini kita telah mempunyai penaja parti di Sabah, Perak dan Kuala Lumpur dan kita sasarkan 100,000 ahli baharu dalam tempoh tiga bulan lagi.

”Kita juga akan menyokong kerajaan sedia ada, namun belum memutuskan untuk menyertai mana-mana blok politik dan akan bergerak secara sendiri dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya