BN sentiasa pertahankan institusi diraja, Undang Yang Empat

BN sentiasa pertahankan institusi diraja, Undang Yang Empat

AHMAD Zahid Hamidi melihat pameran ketika hadir pada Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) menerima nasihat pihak Istana Negeri Sembilan supaya parti politik tidak mengaitkan institusi berkenaan dalam ceramah dan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa institusi diraja mesti dihormati dan dipertahankan.

Tambahnya, dalam konteks Negeri Sembilan, BN juga berpendirian yang sama kepada institusi Undang Yang Empat.

“Kempen-kempen yang kami jalankan juga tidak menyentuh perkara itu, mungkin ada pihak lain sebab kami berpegang bahawa institusi raja-raja mesti dipertahankan dan dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan.

“Kami tidak pernah menyentuh sebaliknya menghormati dan untuk itu saya ingin mengingatkan lah mana-mana pihak yang ingin menyentuh perkara itu, tidak perlu sentuh, ini merupakan satu ingatan yang baik daripada pihak Istana, “katanya.

Beliau berkata demikian semasa Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Hari ini Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Oleh itu, Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding dalam PRN negeri ini supaya mengelakkan daripada memainkan isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi Diraja).

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sempena hari pengundian awal esok, beliau berharap anggota tentera dan polis yang terlibat supaya dapat memberi peluang kepada BN untuk menang dalam PRN kali ini.

“Saya sebagai Pengerusi BN memohon supaya pihak yang mengundi awal berikanlah peluang kepada calon-calon BN untuk memenangi kerusi-kerusi yang ditawarkan untuk ditandingi, insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik

“Pengalaman di peringkat nasional akan kami turunkan di peringkat negeri dan insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik untuk tentera dan polis apabila keputusan memperlihatkan bahawa 1 Ogos nanti undi-undi awal itu akan memihak kepada calon BN,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu berkata,
tiada sebarang perselisihan berlaku di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan persefahaman di antara kedua-duanya ketika ini.

“Tiada pergaduhan, perselisihan pendapat pun tidak, kami bergerak seiring.

“Kenyataan yang dibuat oleh seorang menteri besar itu, kenyataan yang saya telah sanggah disebabkan tidak seseuai. Itu bukan pergaduhan tetapi hanya pandangan kami

“Ini kerana geopolitik sesebuah negeri itu berbeza dengan sebuah negeri yang lain, mungkin sesuai untuk negerinya tetapi tidak sesuai di Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN