KUALA LUMPUR: Bagi mereka yang tidak memiliki kelayakan akademik formal, peluang kini terbuka luas untuk menyambung pelajaran menerusi pengiktirafan pengalaman kerja dan kemahiran yang diperoleh di tempat kerja.
Lebih menarik, selepas tamat pelajaran, pekerja berkenaan akan ditawarkan peluang kerja di luar negara termasuk Australia, United Kingdom, New Zealand dan Eropah.
Itu inisiatif ditawarkan syarikat tempatan, SNT Group (M) Sdn Bhd (SNT Group) yang kini menyasarkan 10,000 tempat kepada pekerja tempatan.
Pengerusi SNT Group (M) Sdn Bhd (SNT Group), Prof Datuk Seri Dr Azizul Rahim Saedin berkata,
pendekatan berasaskan pembelajaran dan pengalaman industri itu membolehkan peserta memperoleh kelayakan yang diiktiraf tanpa perlu memulakan pengajian daripada peringkat asas.
Beliau berkata, selepas menamatkan pengajian dan latihan yang ditawarkan, peserta berpeluang diserap terus ke dalam sektor pekerjaan di negara terbabit berdasarkan keperluan industri masing-masing.
“Selain memperoleh pengalaman antarabangsa, mereka turut berpotensi menikmati pakej gaji dan faedah yang lebih kompetitif, sekali gus membuka peluang membina kerjaya jangka panjang di luar negara dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi.
“Kami berperanan sebagai pemudah cara bagi insiatif itu selain mempunyai kerjasama baik dengan pemain industri dan institusi pendidikan antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Forum Memperkasa Bakat Generasi Masa Depan di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa universiti, kolej dan agensi pekerjaan di Australia, New Zealand serta beberapa negara Eropah bagi menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih tersusun
Dr. Azizul Rahim berkata, peserta yang mengikuti program berkenaan turut berpeluang menyambung pengajian secara serentak ketika bekerja mengikut syarat yang ditetapkan institusi pendidikan dan negara berkenaan.
Menurutnya, program itu juga memberi tumpuan kepada golongan pekerja berpengalaman yang tidak memiliki kelayakan akademik formal dengan menyediakan laluan pengiktirafan pengalaman kerja bagi memperoleh sijil, diploma atau ijazah daripada institusi yang diiktiraf.
“Pekerja yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun boleh mengikuti kursus jangka pendek sebelum pengalaman mereka dinilai untuk melayakkan mereka memperoleh diploma.
“Bagi mereka yang mempunyai pengalaman lima hingga 10 tahun, mereka berpeluang memperoleh ijazah,” katanya.
Jelasnya lagi, usaha itu turut dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta universiti luar negara bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja Malaysia.
“Matlamat kami ialah memastikan lebih ramai rakyat Malaysia bukan sahaja mempunyai pengalaman bekerja, tetapi turut memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf supaya lebih berdaya saing dan berpeluang menikmati pendapatan yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










