Azar Azmi kembali hiasi kaca TV malam ini - Utusan Malaysia

Azar Azmi kembali hiasi kaca TV malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setelah tujuh tahun tidak muncul di kaca televisyen, pelakon, Azar Azmi akhirnya kembali membintangi drama bersiri Bulan Henti Bicara, yang mula bersiaran menerusi slot Megadrama Astro Ria, malam ini.

Lebih istimewa, kepulangan Azar bukan sekadar penampilan semula di kaca TV, malah beliau membawa watak yang penuh emosi dalam sebuah naskhah yang mengangkat isu kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan dan penderaan rumah tangga.

Menurut Azar, dia mengambil masa seminggu untuk menerima tawaran bagi menjayakan watak sebagai Faziah menerusi naskhah arahan Eyra Rahman.

“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan menerima watak Faziah yang diberikan. Untuk jadi Faziah bukan mudah kerana dia mengharapkan kasih sayang tetapi tidak dapat. Untuk menerima watak ini, saya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan pasukan kerja,” katanya.

Meskipun sudah lama tidak berlakon, Azar turut meluahkan rasa bersyukur apabila mendapat bimbingan dari pihak pengarah untuk menjayakan watak tersebut dengan baik.

“Alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan kak Eyra. Kak Eyra sebagai pengarah sangat membantu untuk membentuk seorang Faziah dan menjadikan apa yang penonton lihat pada hari ini,” kongsinya.

Bulan Henti Bicara mengisahkan perjalanan hidup Zulfa, seorang wanita yang terperangkap antara tanggungjawab sebagai anak yang taat kepada bapanya dan sebagai isteri yang menjadi mangsa penderaan mental serta fizikal. Dalam usahanya mempertahankan maruah dan kebahagiaan keluarga, Zulfa terpaksa berdepan pelbagai ujian yang menguji kekuatan hati, kepercayaan dan harga dirinya.

Drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya ini diarahkan oleh Eyra Rahman dan dibarisi barisan pelakon berpengalaman serta generasi baharu seperti Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Farah Ahmad, Hushairy Hussein, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha, Nik Ramly @ Poknik, Qistina Rania dan Rafique Iskandar.

Dengan gabungan jalan cerita yang sarat emosi, lakonan mantap serta kemunculan semula Azar Azmi yang dinanti-nantikan peminat, Bulan Henti Bicara dilihat berpotensi menjadi antara naskhah paling diperkatakan tahun ini dan meneruskan momentum kejayaan slot Megadrama Astro.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bulan Henti Bicara yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria, serta boleh distrim pada bila-bila masa menerusi aplikasi sooka.

Pada Mei lalu, rata-rata peminat Azar meluahkan rasa teruja apabila pelakon itu kembali ke set penggambaran setelah sekian lama menyepi.

Malah, video pengumuman yang diterbitkan oleh Bambam Studios mencetuskan fenomena apabila meraih lebih 1 juta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang 24 jam, sekali gus membuktikan bahawa nama Azar Azmi masih mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN