Perkhidmatan teksi air Pulau Pinang dijangka beroperasi 2024

Perkhidmatan teksi air Pulau Pinang dijangka beroperasi 2024

ZAIRIL Khir Johari (kiri) menunjukkan pelan berkaitan perkhidmatan teksi air Pulau Pinang yang dijangka beroperasi pada 2024 dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perkhidmatan teksi air yang pertama dan lengkap di negeri ini dijangka memulakan perkhidmatan pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan teksi air itu adalah salah satu alternatif kaedah pengangkutan dan perkhidmatan yang mudah dicapai oleh orang awam di kawasan pulau, Pulau Pinang. 

“Perkhidmatan teksi air ini bakal dijadikan satu akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh di kawasan bandar, contohnya perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian, urusan peribadi dan sebagainya.

“Projek ini masih baharu dan agak sukar untuk kita ramalkan, namun kita harap ada yang mahu melabur, sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan teksi air ini dapat diperkenalkan pada 2024,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Perkhidmatan teksi air adalah sebahagian daripada rancangan yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Difahamkan, dermaga teksi air itu akan dibina di empat lokasi iaitu di Straits Quay; Terminal Swettenham Pier; Batu Maung dan Pulau Jerejak.

Menurut Zairil, untuk melaksanakan projek itu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa dan menjemput mana-mana syarikat yang berminat menyertai tender terbuka secara Request For Proposal (RFP). 

Jelas beliau, syarikat yang ingin menyertai RFP ini dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan seperti yang dinyatakan di dalam dokumen RFP. 

“Tarikh iklan untuk RFP ini adalah pada 12 Disember, penjelasan RFP daripada MBPP pada 19 Disember dan tarikh tutup penyertaan RFP pada 27 Februari.

“Selepas itu, MBPP dan agensi berkaitan akan membuat penilaian, sekiranya lancar mungkin pertengahan tahun depan kita dapat tawarkan tender dan teruskan perancangan untuk merealisasikan teksi air ini,” katanya.

Tambah Zairil, syarikat yang ingin menyertai RFP itu hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pertubuhan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta mempunyai modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM500,000.

“Syarikat itu juga perlu berdaftar dengan Sistem Perolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui laman web https://ep.penang.gov.my untuk membeli dokumen RFP ini. 

“Dokumen RFP hanya dijual secara online melalui laman web tersebut dan perlu dibeli serta dimuat turun melalui akaun perolehan masing-masing sebagai pengesahan pembelian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.