RSF didakwa lakukan pembersihan etnik di Sudan

RSF didakwa lakukan pembersihan etnik di Sudan

KANAK-kanak berkumpul di sebuah bilik darjah yang dikendalikan War Child Holland di Pusat Transit Renk, di Sudan Selatan, pada 17 November lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Amnesty International mendakwa Pasukan Sokongan Pantas (RSF) melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembersihan etnik ketika serangannya ke atas bandar El-Fasher antara 2024 hingga 2025.

Sudan terus dilanda perang sejak April 2023 antara tentera negara itu dan RSF, yang mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan penduduk melarikan diri, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kedua-dua pihak turut berdepan tuduhan melakukan kekejaman, dengan satu misi pencari fakta bebas PBB pada Februari menyimpulkan serangan 2025 ke atas El-Fasher mempunyai ‘ciri-ciri genosid’.

Laporan Amnesty yang menyeluruh itu menyatakan RSF ‘melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembersihan etnik’ dalam kempen mereka untuk menguasai El-Fasher.

NGO berkenaan menemu bual 247 mangsa dan saksi antara awal 2024 hingga Oktober 2025 di Darfur Utara.

Amnesty turut mendakwa, RSF secara sistematik menyerang kawasan penempatan sekitar El-Fasher yang didiami masyarakat Zaghawa, iaitu kumpulan etnik di wilayah barat Darfur.

Laporan itu mendakwa, berlaku keganasan meluas dan disengajakan terhadap kanak-kanak, termasuk pembunuhan, penculikan, perekrutan paksa dan rogol.

“Ia adalah satu noda pada nurani kemanusiaan,” kata ketua Amnesty, Agnes Callamard dalam satu kenyataan.

Laporan itu menyatakan pejuang RSF membakar rumah-rumah walaupun selepas penduduk telah melarikan diri, menunjukkan niat untuk menjadikan kawasan tersebut tidak lagi boleh didiami, yang selaras dengan konsep pembersihan etnik.

Semasa serangan terakhir RSF ke atas El-Fasher pada Oktober 2025, Amnesty berkata beratus-ratus orang dihukum bunuh, dan ramai lagi diseksa atau ditahan ketika cuba melarikan diri.

Laporan itu turut menyatakan pelanggaran berlaku ‘berulang kali dan dalam skala besar’, serta menyimpulkan mereka yang berada dalam kedudukan berkuasa mengetahui, atau sepatutnya mengetahui, apa yang berlaku, tetapi gagal menghentikannya atau mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak.

Amnesty International, yang menegaskan siasatan terhadap insiden itu masih berterusan, turut berkata bahawa tindakan tersebut mungkin berkaitan dengan jenayah genosid.

NGO antarabangsa itu menggesa gencatan senjata segera serta penempatan pasukan antarabangsa bagi melindungi orang awam.

Laporan tersebut dikeluarkan ketika Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengadakan perbahasan mengenai bandar El-Obeid di Kordofan Utara, di tengah-kebimbangan mengenai kemungkinan serangan RSF yang hampir berlaku selepas beberapa minggu serangan intensif.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN