Jika Hans okey, saya pun okey bergandingan dengan dia - Erra Fazira - Utusan Malaysia

Jika Hans okey, saya pun okey bergandingan dengan dia – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama tidak berkongsi skrin, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira mengakui tetap serasi dan tidak kekok digandingkan semula dengan Datuk Hans Isaac dalam drama Gerak Khas 2.0.

Erra atau Fazira binti Wan Chek, 52, berkata, dia tidak menyangka dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa Hans turut memberikan persetujuan untuk beraksi semula dalam drama kepolisan popular tersebut.

“Saya juga berasa terkejut apabila nama Hans dicalonkan untuk terlibat sama dalam projek ini. Saya sempat bertanya sama ada beliau mahu menerima tawaran ini memandangkan jadual kerjanya yang sangat sibuk.

“Tetapi, apabila melihat beliau bersedia menyahut cabaran tersebut, saya menganggap ia sebagai satu perkembangan yang sangat bagus untuk drama ini,” katanya.

Erra berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Gerak Khas 2.0 di ibu negara, semalam.

Menurut Erra, hubungan mereka sepanjang penggambaran berjalan lancar kerana masing-masing mengutamakan profesionalisme ketika bekerja.

“Kami sangat profesional, tiada masalah langsung. Kalau selepas ini ada yang mahu gandingkan Erra dengan Hans lagi, okey saja. Hans okey, saya pun okey,” katanya.

“Ada babak bersama Hans, tetapi bukan babak bercinta. Kami bertugas bersama,” katanya.

Sebelum ini, Hans Isaac dan Erra Fazira pernah berganding bersama dalam filem romantik ngeri Gemilang pada tahun 1997.

Dalam perkembangan lain, Gerak Khas 2.0 diterbitkan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions di bawah arahan Datuk Dr Yusof Haslam bakal menemui penonton bermula 3 Julai ini, setiap Jumaat, jam 8.30 malam secara eksklusif di TVS.

Untuk rekod, drama yang pernah mencatat 20 musim dan 1,054 episod itu kembali dengan pendekatan lebih segar menerusi jalan cerita membabitkan jenayah moden, serangan siber serta sindiket berteknologi tinggi, selain menjadikan Sarawak sebagai antara lokasi utama penceritaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN