Perkembangan kesihatan Siti Bainun diketahui Rabu ini - Utusan Malaysia

Perkembangan kesihatan Siti Bainun diketahui Rabu ini

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Rabu ini bagi mengetahui perkembangan kesihatan Siti Bainun Ahd Razali sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan atau menangguh perbicaraan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down, Bella.

Hakim Izralizam Sanusi berkata, meskipun penangguhan prosiding bela diri tidak dapat dielak, mahkamah perlu dimaklumkan perkembangan lanjut pengasas Rumah Bonda itu sebelum membenarkan permohonannya.

“Saya perlu teliti sama ada Siti Bainun langsung tidak boleh hadir ke mahkamah atau sekadar tidak boleh mendengar.

“Saya perlu tahu sama ada prosedur itu bagi kes kronik atau akut dan apakah perkara-perkara yang menghalangnya untuk hadir ke mahkamah,” jelas beliau.

Siti Bainun yang sepatutnya mula membela diri hari ini atas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, dimasukkan ke hospital minggu lalu kerana menghidap pneumonia dan dijadual menjalani prosedur endoskopik dan pembedahan hempedu.

Terdahulu, peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor ketika memohon penggantungan perbicaraan memaklumkan, Siti Bainun, 31, dimasukkan ke wad sejak 28 November lalu kerana menghidap pneumonia.

Peguam itu kemudian merujuk surat pengesahan daripada seorang pakar bedah di hospital berkenaan bahawa Siti Bainun akan dibius sepenuhnya bagi menjalani prosedur endoskopik esok.

Menurutnya, pengesahan tarikh pembedahan hempedu hanya akan diketahui selepas pemeriksaan abdomen dilakukan manakala proses pemulihan selepas dibedah mengambil masa enam minggu.

“Prosedur ini perlu dilakukan segera dan tidak boleh ditangguhkan kerana penyakit tersebut mengganggu pernafasannya. Siti Bainun dimasukkan ke wad sebab mengalami muntah-muntah,” katanya.

Sehubungan itu, Nur’Aminahtul memohon pembelaan diberi masa untuk mendapatkan dokumen terkini daripada pihak hospital bagi mengesahkan prosedur perubatan terhadap Siti Bainun.

Terdahulu, Siti Bainun tidak berjaya menggantung prosiding perbicaraan selepas gagal menunjukkan keadaan khas atau istimewa yang membolehkan permohonan itu dibenarkan.

Izralizam berpuas hati permohonan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Siti Bainun memohon prosiding bela diri digantung atas alasan pihaknya telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi pada 25 November bagi mengkaji kedua-dua pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah berpendapat, dakwaan pasukan pembelaan bahawa hakim bicara tidak mempertimbang pertuduhan tersebut adalah tidak berasas.

Jelas Izralizam, fokus utama beliau ketika membaca keputusan pada akhir pendakwaan adalah sama ada kes prima facie dapat dibuktikan pada setiap pertuduhan.

“Mahkamah hanya perlu mengumumkan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie setelah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan.

“Maka tiada keperluan mahkamah untuk memberi penjelasan terhadap isu-isu yang disenaraikan. Oleh yang demikian dakwaan peguam bela adalah tidak berasas dan mengelirukan,” kata Izralizam.

Pasukan pembelaan ketika memohon penangguhan berhujah, permohonan itu adalah berkaitan pertuduhan dan sebarang dapatan oleh Mahkamah Tinggi akan memberi implikasi kepada keseluruhan perbicaraan.

“Dapatan Mahkamah Tinggi akan memberi implikasi sama ada perbicaraan diteruskan atau sebaliknya atau sama ada terdapat perubahan pada pertuduhan atau apa-apa arahan yang sesuai,” jelas peguam.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya