Peniaga 'tertekan' telur kurang di pasaran

Peniaga ‘tertekan’ telur kurang di pasaran

RAHIMAH Hasan melihat bekalan telur ayam yang dijual di kedainya di Ketereh, Kota Bharu semalam. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Para peniaga di negeri ini mengakui mereka masih berdepan tekanan susulan bekalan telur masih belum pulih walaupun Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan menyelesaikan masalah tersebut selain menetapkan  harga bahan mentah itu dengan lebih murah.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kedai mendapati bekalan telur sukar untuk diperolehi selain harganya mencecah sehingga 54 sen sebiji, berban­ding gred kawalan harga iaitu gred A 45 sen sebiji, B (43 sen) dan C (41 sen).

Seorang peniaga, Rahimah Hasan,43, berkata, sehingga kini, dia masih lagi berdepan dengan krisis bekalan telur dan mengakui agak sukar mendapatkan bekalan berkenaan.

Menurutnya, meskipun sudah meminta pembekal menghantar bekalan telur ke kedainya sejak dua hari lalu, namun sehingga kini bekalan telur masih belum diterimanya.

“Bekalan telur kini agak susah untuk diperolehi, malah sebelum ini pernah terputus bekalan malah is masih lagi berlaku sehingga hari ini kerana bekalan tidak sampai kepada kami (peniaga).

“Saya berharap agar masalah bekalan telur ini dapat diselesaikan dengan kadar segera selain harga juga dapat diturunkan bagi meringankan beban rakyat,”katanya ketika di temui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pengguna, Mizema Abdul Rahman,64, berkata, dia terpaksa mencari telur di beberapa buah kedai kerana bekalan telur agak susah didapati selain harga yang agak mahal berbanding sebelum ini.

“Saya berharap, kerajaan baharu ini dapat membantu menyelesaikan isu bekalan telur ini selain dapat menurunkan harga barangan tersebut.

“Malah saya tidak sabar untuk mendengar pengumuman hari ini mengenai penetapan harga telur yang lebih murah,”katanya.

Media semalam melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan harga telur lebih murah hari ini.

Anwar berkata, perincian mengenai penetapan harga berhubung siling baharu harga telur kan diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN