HULU SELANGOR: Runtuhan tanah yang dianggarkan sebanyak 500,000 tan metrik dengan ketinggian 30 meter di Fathers’ Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini kelmarin menjadi bukti aspek penguatkuasaan dan pemantauan cerun yang masih lemah.
Ini kerana kejadian yang mengorbankan 24 setakat ini bukan sekadar isu lesen tapak perkhemahan semata-mata.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean berkata, tragedi berkenaan adalah disebabkan kegagalan kerajaan untuk memantau keselamatan struktur dan tebing di kawasan tanah tinggi.
Malah, katanya, lebih mendukacitakan adalah apabila konsultan pembangunan utama di kawasan Genting, PLAN Malaysia yang dipercayai di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sendiri gagal mengesan risiko di lokasi kejadian.
Justeru beliau meminta kerajaan tidak mengalihkan fokus orang ramai terhadap pengusaha yang menjadi punca berbanding kegagalan yang lebih serius pihak kerajaan.
“Kesalahan kecil pengusaha itu yang tidak membuat permohonan untuk menjadikan kawasan perkhemahan sangat remeh. Saya pasti kalau mohon mesti dapat kebenaran sebab lagi satu permit akan menambah pendapatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Jadi kejadian yang berlaku itu adalah kegagalan PBT, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Alam Sekitar yang gagal dalam penguatkuasaan cerun.
“PLAN Malaysia yang sedang merancang pembangunan di Genting Hulu Selangor, bagaimana mereka tidak melihat risiko tanah tinggi?
“Kenapa sekarang suruh semua kawasan perkhemahan ditutup, kenapa tidak dibuat sebelum ini? Kami sokong penutupan tapak perkhemahan tetapi langkah itu sebab mereka sendiri tidak tahu di mana kawasan berisiko,” katanya ketika di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketiga-tiga tapak yang terlibat dengan tragedi itu hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan pada 2019.
Dalam masa sama, kementerian juga mengarahkan 155 PBT untuk mengosongkan tapak perkhemahan berisiko tinggi di seluruh negara selama tujuh hari dengan kadar segera.
Mengulas lanjut, Damien Thanam berkata, semua cerun ketika ini sepatutnya perlu dianggap tidak stabil kerana taburan hujan di kawasan itu tidak sama di kawasan sebelumnya.
Beliau berkata, ini kerana taburan hujan lebih tinggi dalam masa lebih singkat, jadi sifat cerun itu untuk mengalirkan air sudah susah ditafsir.
“Bahkan sehingga hari ini kami belum melihat kejadian yang menunjukkan apa kesan sebenar fenomena kawasan global yang menjana perubahan global yang mengakibatkan cuaca ekstrem,” katanya.
Justeru, beliau menambah, satu kajian mendalam perlu dilaksanakan segera supaya mana-mana cerun yang berisiko dapat dikenal pasti dengan lebih terperinci.
“Kalau ada kajian, maka kita boleh tahu sama ada polisi kerajaan harus ditukar di mana pembangunan yang dijalankan atau yang sedang dirancang terpaksa dibatalkan sebab tidak selamat, atau cara penyelenggaraan cerun dan anggaran kos.
“Ini tidak, mereka menutup semua tapak perkhemahan, maka bermakna mereka tidak tahu di mana kawasan selamat,” katanya. – UTUSAN










