Penghidap kanser usus rayu kerajaan segera bina rumah

Penghidap kanser usus rayu kerajaan segera bina rumah

MAZLAN Halim menunjukkan bahagian bumbung dan atap rumah pusaka yang sudah bocor di Kampung Seri Kool di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang pesakit kanser usus, Mazlan Halim, 49, memohon kerajaan menyegerakan pembinaan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Seri Kool di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mazlan berkata, dia kini menetap di rumah pusaka keluarga yang uzur seperti bumbung hampir runtuh, atap bocor dan lantainya reput mengundang risiko keselamatan lebih-lebih lagi bimbang ketika waktu kejadian ribut.

“Permohonan rumah PPRT sudah lama dibuat, tetapi belum menerima apa-apa jawapan dari­pada kerajaan. Saya berharap permohonan ini diluluskan segera untuk saya tinggal lebih selesa kerana saya penghidap kanser usus yang kronik.

“Saya mempunyai tapak rumah yang kosong diberi oleh ke­luarga dan berharap kerajaan meluluskan permohonan ini se­gera memandangkan keadaan penyakit yang ditanggung sehingga tidak mampu bekerja lagi.

“Kini, saya tinggal bersendirian dan cuma memperoleh bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 untuk belanja keperluan dapur dan perubatan,” katanya di Kampung Seri Kool di sini semalam.

Menurut Mazlan, penyakit kanser usus yang dihidapinya pada awal Mac 2021 berikutan dia mengalami kesukaran membuang air besar selama dua hari dan sakit memulas dalam perut.

“Saya membuat rawatan di Hospital Jerantut, kemudiannya dirujukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas),Temerloh dan doktor pakar mengesahkan kanser usus setelah melalui pemeriksaan dengan alat pengimbas CT Scan,” katanya.

Katanya, selepas pembedahan dijalankan di Hoshas pada bulan Mac, 2021, dia dipakaikan beg stoma untuk memudahkan membuang najis dan kemudiannya mengulangi rawatan susulan sehingga ini.

“Rutin hidup saya berubah sejak memakai beg stoma terutamanya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan RM110 untuk memperoleh 110 keping beg stoma dibeli setiap bulan di farmasi bandar Jerantut,” katanya.

Mazlan berkata, sehingga kini dia tidak mampu bekerja berat untuk menyara dua orang anaknya yang masih bersekolah di Tahun Tiga sekolah rendah dan Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah di bandar Jerantut.

Katanya, dia mempunyai lima orang anak berusia antara sembilan hingga 22 tahun hasil perkahwinan dengan arwah isterinya, Mariam Mustapha Kamal yang meninggal dunia pada 2018, manakala anaknya yang bersekolah rendah dipelihara oleh seorang saudara isterinya di Felda Sungai Retang dan yang belajar di Tingkatan Lima tinggal di asrama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya