Penganggur menyamar penghulu dicekup selepas 'scam' peniaga 

Penganggur menyamar penghulu dicekup selepas ‘scam’ peniaga 

MUHAMMAD ZAKI HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Tindakan seorang penganggur ‘scam‘ peniaga dengan menyamar sebagai penghulu untuk mengutip derma bagi memberi sumbangan makan kepada anak yatim terbongkar selepas ditahan polis di kediamannya di kawasan perumahan Kemuming, Pengkalan Chepa, semalam.

Suspek berusia 28 tahun itu diberkas polis pada pukul 4.48 petang.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, menurut laporan, suspek yang mengaku sebagai penghulu telah menghubungi dan meminta sumbangan daripada peniaga tersebut pada 29 Oktober bagi mengadakan majlis untuk memberi makan kepada anak yatim

Menurutnya, mangsa kemudian telah bertindak membuat transaksi sebanyak RM500 kepada akaun milik suspek.

“Suspek kemudian menghubungi semula mangsa dan memberitahu jumlahnya tidak mencukupi sebelum mangsa membuat tambahan sebanyak RM2,300 lagi.

“Suspek memberitahu mangsa majlis akan dibuat di sebuah masjid di Tumpat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, keesokan harinya mangsa telah lalu di hadapan masjid di Tumpat dan bertanya kepada salah seorang kakitangan berkait dengan majlis tersebut.

Katanya, mangsa terkejut selepas diberitahu majlis tersebut tidak wujud dan susulan itu mangsa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan. Hasil siasatan awal dan semakan mendapati suspek merupakan individu dikehendaki polis berhubung kes rogol di Bachok.

“Pada masa sama, suspek juga didapati terlibat dengan satu kes yang menggunakan modus operandi yang sama dilaporkan di Pasir Puteh pada Mei dan kini sedang disiasat,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, statistik kes jenayah komersial di Kelantan menunjukkan peningkatan sebanyak 30 kes atau 3.4 peratus untuk tahun ini berbanding tahun lalu dalam tempoh Januari sehingga November.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 874 kes dengan kerugian RM16.1 juta dilaporkan berbanding 904 kes tahun ini dengan anggaran kerugian RM24.9 juta.

“Antara jenis-jenis kes yang dilaporkan termasuklah macau scam, tipu pelaburan dalam talian, tipu kerja sambilan dalam talian, pinjaman tidak wujud dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya