Negara kuasa besar guna ekonomi sebagai senjata geopolitik

Negara kuasa besar guna ekonomi sebagai senjata geopolitik

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecenderungan negara kuasa besar dunia menggunakan ekonomi sebagai senjata geopolitik berisiko menjejaskan kestabilan perdagangan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem perdagangan pelbagai hala yang selama ini menjadi tunjang integrasi ekonomi dunia kini berdepan tekanan susulan ketidaktentuan geopolitik yang semakin kompleks.

Katanya, keadaan itu memberi kesan paling ketara kepada negara-negara membangun yang lebih mudah terdedah terhadap sebarang krisis.

“Sekatan eksport dan dasar perindustrian kini semakin dipengaruhi oleh persaingan geopolitik. Yang paling membimbangkan adalah kecenderungan yang semakin meningkat untuk menjadikan saling kebergantungan ekonomi sebagai senjata.

“Rantaian bekalan, teknologi, mineral kritikal, kewangan dan akses pasaran semakin dilihat melalui lensa persaingan, bukannya manfaat bersama.

“Bagi kuasa besar, perkara ini boleh dimanfaatkan sebagai instrumen kenegaraan. Namun bagi banyak negara lain, ia menjadi sumber kerentanan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, Jepun hari ini.

Menurut Anwar, keadaan itu juga dapat dilihat menerusi konflik berpanjangan di Gaza, ketegangan di Asia Barat, peperangan di Ukraine serta persaingan kuasa besar di rantau Asia yang terus memberi kesan kepada kestabilan dan keamanan sejagat.

“Kita masih menjadi tebusan kepada dinamika kuasa sifar jumlah yang menyaksikan pihak yang kuat terus berkepentingan untuk menekan yang lemah. Ini adalah formula kegagalan.

“Tragedi berterusan di Gaza, ketegangan di Asia Barat dan kesan global yang semakin meruncing serta perang berpanjangan di Ukraine mengingatkan kita tentang rapuhnya keamanan dan keterbatasan konsensus antarabangsa,” katanya.

Anwar turut menyifatkan pertikaian di Laut China Selatan sebagai ancaman kepada kestabilan maritim serantau selain program nuklear dan keupayaan peperangan konvensional serta siber Korea Utara yang terus menjadi cabaran keselamatan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, dunia memerlukan kepimpinan yang berani menyuarakan kebenaran dan menentang ketidakadilan, bukannya terus membiarkan politik kuasa menentukan hala tuju hubungan antarabangsa.

Katanya, negara-negara membangun termasuk Malaysia dan anggota ASEAN mempunyai peranan penting sebagai jambatan untuk merapatkan jurang perbezaan serta membina kesepakatan ketika dunia semakin berdepan perpecahan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN