Pembangkang akur keabsahan Saarani sebagai MB Perak - Utusan Malaysia

Pembangkang akur keabsahan Saarani sebagai MB Perak

RAZMAN Zakaria semasa membahaskan ucapan terima kasih titah perasmian DUN Perak pada Sidang DUN di Ipoh hari ini. - UTUSAN/KORPORAT SUK PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembangkang di Perak tidak akan mengemukakan usul undi percaya atau tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, pada pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) mengakui keabsahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu untuk menyandang jawatan tersebut.

“Kami mengakui kekukuhan kerajaan negeri yang ada sekarang terdiri daripada gabungan 18 ADUN DAP, lima PKR dan seorang Amanah mewakili Pakatan Harapan (PH) bersama lapan ADUN UMNO dan seorang MCA mewakili Barisan Nasional (BN).

“Oleh sebab itulah kami tidak mengemukakan usul (nama calon) pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker,” katanya ketika membahaskan ucapan terima kasih titah perasmian DUN Perak pada Sidang DUN di sini hari ini.

Razman (PN-Semanggol) menegaskan pihaknya seramai 26 ADUN akan menjadi blok pembangkang yang konstruktif dalam agenda untuk memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan negeri memperbanyak program yang boleh merapatkan hubungan antara kaum serta tidak melayan tuntutan-tuntutan yang tidak perlu terutama yang bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, sebagai usaha merapatkan semula polarisasi kaum yang berlaku sekarang.

Jelasnya, Perak harus menjadi pencetus dalam mengadakan program atau kempen integrasi nasional dan perpaduan kaum untuk merapatkan semula hubungan antara kaum selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah memberikan gambaran tidak sihat dan boleh membentuk ketidakstabilan politik dalam negeri dan negara.

Beliau memaklumkan fakta yang tidak boleh dinafikan hampir keseluruhan atau 95 peratus kaum bukan Melayu dan Bumiputera telah berada di bawah satu blok iaitu Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, hasil kesinambungan daripada PRU terdahulu.

Katanya, PRU15 menyaksikan hampir 70 peratus Melayu Bumiputra dikumpulkan dalam satu blok yang berlainan menerusi PN.

Beliau bimbang jurang perbezaan antara blok itu akan menjadi lebih besar dan boleh mengancam kestabilan politik dan keharmonian antara kaum jika tidak ditangani dengan cermat.

“Malangnya, dalam suasana politik Malaysia sekarang, hanya blok politik sebelah sini (PN) yang disalahkan dengan berbagai label seperti perkauman, ekstremis kaum, taliban dan sebagainya.

“Tetapi, pada hakikatnya polarisasi kaum ini dibentuk (terlebih dahulu) oleh sebelah sana.

“Tindakan salah oleh blok politik ini telah menimbulkan reaksi spontan seperti dinyatakan dalam Teori Newton, hasil daripada satu tindakan menghasilkan tindakan lain, iaitu (sokongan orang Melayu Bumiputera kepada PN) adalah daripada tindakan pihak sebelah sana,” ujarnya.

Beliau menjelaskan antara tindakan itu termasuk tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), tuntutan hak milik kekal kampung baru serta cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kenyataan veteran Dap, Lim Kit Siang, iaitu mahu kerajaan menyekat Malaysia daripada menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua PRU akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya