Peguam S.M Faisal, Caprice diarah maklum pendirian

Peguam S.M Faisal, Caprice diarah maklum pendirian berhubung kes saman

CAPRICE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan pihak-pihak dalam kes saman fitnah ahli perniagaan terkenal, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice memaklumkan pendirian sama ada mereka bersetuju menyelesaikan kes secara baik atau diputuskan menerusi perbicaraan.

Saman berkenaan difailkan S.M Faisal terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli pada 15 Ogos lalu, yang mendakwa defendan (Caprice) memuat naik hantaran fitnah dalam Instagram miliknya dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Hakim Azian Othman menetapkan persetujuan itu (jika ada) dimaklumkan kepada mahkamah sebelum tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 4, 5 dan 6 Oktober tahun depan.

Peguam Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili S.M Faisal memberitahu wakil media, mahkamah turut menetapkan tarikh pengurusan kes secara e-Review pada 3 Julai depan.

“Azian merekodkan bahawa kedua-dua belah pihak boleh memaklumkan status penyelesaian secara baik, jika ada. Pihak-pihak perlu memaklumkan perkembangan sebelum tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula 4 Oktober tahun depan,” katanya selepas sesi pengurusan kes hari ini.

Dalam prosiding itu, Caprice diwakili peguam Harjoth Singh.

Pada 20 September lalu, media melaporkan S.M Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Caprice dengan menamakan selebriti tersebut sebagai defendan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, S.M Faisal berkata, pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Ujar plaintif, sehari selepas itu, Caprice didakwa memfitnah dirinya atau keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dengan memuat naik video dan hantaran fitnah di Instagram defendan.

S.M Faisal mendakwa, insiden itu dimanipulasi bekas isterinya atau pihak tertentu dengan berniat jahat melalui media massa atau elektronik tanpa merujuk kepadanya berhubung kedudukan sebenar kes di Mahkamah Tinggi Syariah.

Hantaran fitnah itu didakwa S.M Faisal, antara lain membawa maksud beliau lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, tidak bertimbang rasa dan agresif terhadap wanita atau kanak-kanak, yang menyebabkan beliau tertekan dari segi emosi selain dicemuh dalam kalangan masyarakat umum.

Hantaran itu mendapat publisiti meluas kerana defendan mempunyai kira-kira 1.5 juta pengikut di Instagramnya.

Menurut plaintif, bahkan sehingga tarikh pemfailan tindakan (saman) ini di mahkamah, posting fitnah tersebut dilihat atau mendapat tanda ‘like’ daripada 14,500 orang.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya terkesan dan terganggu.

Berikutan itu, plaintif melalui peguamnya menghantar surat tuntutan bertarikh 7 Julai lalu berkenaan hantaran fitnah tersebut yang mana antara lain menuntut penarikan balik dan permohonan maaf, namun defendan gagal menenuhi tuntutan plaintif.

Justeru, plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, ejennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebar, menyiar, menerbit, mengedar atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun.

“Suatu permohonan maaf awam yang tanpa ragu (unequivocal) daripada defendan kepada plaintif dimuat naik, disiar , diterbit, diedar dan dihebahkan dalam laman-laman media sosial termasuk tetapi tidak terhad kepada Instagram atau Facebook milik defendan,” kata S.M Faisal.

Selain itu, antara yang dituntut adalah kos, ganti rugi am, ganti rugi punitif (punitive damages), ganti rugi teladan (exemplary damages), ganti rugi teruk (aggravated damages) dan lain-lain relif yang dianggap wajar oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya