Nur Umairah derita bertarung kanser otak

Nur Umairah derita bertarung kanser otak

NOOR Shahirah Mohd. Fuzi memberi sepenuh perhatian kepada Nur Umairah Abdul Rahman yang kini terlantar akibat kanser otak di Kampung Banggol Senu, Tobiar, Pendang. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Ibu mana yang tidak mahu anaknya membesar dengan sihat hingga dewasa, namun itu seakan mustahil bagi Noor Shahirah Mohd. Fuzi, 26, tatkala anak perempuan kesayangannya terpaksa bertarung dengan kanser otak.

Lebih menyayat hati, Nur Umairah Abdul Rahman, 8, yang kini menerima rawatan paliatif kerana penyakit dihidapinya sejak dua tahun lalu itu kemungkinan besar tidak dapat disembuhkan lagi.

Pada takdir yang perit itu, Noor Shahirah masih menaruh harapan dengan keajaiban agar anak sulungnya itu kembali pulih seperti sediakala.

“Kadang-kadang rindu nak lihat Umairah macam dulu-dulu. Rindu nak berbual dengan dia macam dulu. Tetapi sekarang dia terlantar saja dan tak boleh bergerak atau bercakap.

“Doktor pun cakap dia tak mungkin sembuh lagi dan kini jalani rawatan paliatif saja,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Banggol Senu, Tobiar di sini semalam.

Menurut Shahirah, Nur Umairah seorang anak yang betah dan periang sebelum didiagnos mempunyai ketumbuhan dalam otak ketika dia berusia enam tahun.

“Ketika itu Umairah di tadika dan muntah-muntah. Saya bawa ke klinik dan doktor bagi ubat ingat sakit perut saja tetapi muntah itu berterusan. Dia dirujuk ke pakar dan disahkan ada kanser otak.
“Luluh hati kami sekeluarga tapi kami reda. Setakat ini Umairah sudah menjalani dua pembedahan membuang ketumbuhan pada Januari dan Mac tahun lalu. Dia juga sudah 30 kali buat rawatan radiografi dan tujuh kali kemoterapi,” katanya.

Namun pada Ogos yang lepas, kata Noor Shahirah, semua rawatan tersebut terpaksa dihentikan memandangkan tiada lagi tindak balas daripada Nur Umairah.

“Selepas raya Aidiladha keadaannya jadi lebih buruk kerana tak boleh bergerak atau bercakap lagi. Kami reda andai ini ketentuan dari Allah. Tetapi saya tetap tak akan berhenti berdoa,” katanya yang turut mempunyai anak lelaki berusia empat tahun, Mohd. Shahmi.

Menyentuh tentang perbelanjaan dan rawatan Nur Umairah, kata Noor Shahirah, dia menerima bantuan RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.

“Umairah hanya minum susu sahaja sekarang. Dua kotak susu boleh tahan sebulan. Suami (Mohd. Nasri Ramli, 44) hanya kerja kampung dan upah dia pun tak menentu,” katanya.

Mereka yang ingin membantu Nur Umairah boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun BSN milik Noor Shahirah, 0299541100317253. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya