Mesyuarat Kabinet pertama Isnin ini - Utusan Malaysia

Mesyuarat Kabinet pertama Isnin ini

ANWAR Ibrahim bersalam dengan jemaah selepas solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama Isnin ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu nanti akan membincangkan beberapa peraturan baharu yang perlu diikuti barisan jemaah menteri di bawah pimpinannya.

“Bagi saya keutamaan sebaik sahaja disusun jemaah menteri, saya akan panggil mesyuarat khas Isnin ini untuk tetapkan beberapa peraturan baharu.

“(Ini termasuk) cara mereka mengurus kementerian iaitu bagaimana mereka berdamping dan bekerjasama dengan penjawat awam serta cara mereka berjimat untuk tidak berbelanja lebih daripada sepatutnya,” katanya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Malaysia di Taman Jati di sini hari ini.

Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, tumpuan kerajaan pimpinannya kini adalah untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tumpuan kita sekarang adalah untuk memulihkan ekonomi. Ringgit (kini) diperkuat, apa maknanya ringgit diperkuat? Maknanya kos import akan lebih murah, tidak terlalu mahal.

“Apabila kos import itu dapat dikurangkan maka kos barang makanan ayam ternakan, baja juga dapat dikurangkan. Insya-Allah, ia boleh kurangkan kos (lain), sebab itu keyakinan itu penting,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap turut mengesahkan Kabinet Kerajaan Perpaduan akan diumumkan selewat-lewatnya petang ini.

Sementara itu, Anwar menjelaskan kunjungannya ke kawasan Parlimen Tambun hari ini sebagai program rasmi pertama di luar Putrajaya dan Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selain program Kenduri Rakyat, Anwar bertemu dengan masyarakat di Pasar Awam Tanjung Rambutan sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN