TEHERAN: Tentera Israel mendakwa seorang anggota sayap luar Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) termasuk antara beberapa individu terbunuh dalam siri serangan yang dilancarkannya di seluruh Lubnan, sekali gus menjadi satu lagi pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata dengan Hezbollah.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan serangan dron pada Khamis menyasarkan sebuah kenderaan di jalan Hosh al-Sayyed Ali di daerah Hermel dan mengorbankan dua orang.
Tentera Israel berkata, Hussein Mahmoud Marshad al-Jawhari yang didakwa sebagai anggota Pasukan Quds IRGC, terbunuh di kawasan Ansariyah di selatan Lubnan selepas kenderaannya diserang.
Israel menuduh al-Jawhari terlibat dalam aktiviti keganasan yang diarahkan Iran terhadap Israel dan pasukan keselamatannya dari Syria dan Lubnan.
IRGC tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap dakwaan tersebut.
NNA turut melaporkan satu lagi serangan dron Israel pada awal petang Khamis yang menyasarkan sebuah trak pikap di pintu masuk bandar Safad al-Batikh di daerah Bint Jbeil, selatan Lubnan.
Dalam satu kenyataan ringkas berasingan, tentera Israel berkata ia turut membunuh seorang anggota Hezbollah di selatan Lubnan.
Gencatan senjata antara Israel dan kumpulan bersenjata Lubnan itu berkuat kuasa pada November 2024 selepas lebih setahun serangan rentas sempadan ketika perang Israel di Gaza.
Namun, sejak itu Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan hampir setiap hari.
Serangan pada Khamis berlaku tidak lama selepas seorang orang awam cedera apabila sebuah dron Israel menyasarkan sebuah kereta di bandar Jennata, daerah Tyre, selatan Lubnan, lewat Rabu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Israel telah membunuh lebih 300 orang di Lubnan sejak gencatan senjata tahun lalu, termasuk kira-kira 127 orang awam. Data yang dikumpulkan oleh Armed Conflict Location and Event Data Project menunjukkan bahawa dari Januari hingga akhir November, tentera Israel melancarkan hampir 1,600 serangan di seluruh Lubnan.
Israel mempertahankan serangan udara hampir setiap hari mereka dengan menyatakan ia menyasarkan pejuang dan infrastruktur Hezbollah, selaras dengan tuntutannya supaya kumpulan itu dilucutkan senjata sepenuhnya di bawah perjanjian gencatan senjata.









