KOTA BHARU: Golongan nelayan di negeri ini perlu memiliki sijil jurumudi (Mate Domestic) supaya mereka memiliki kemahiran berkaitan pengendalian bot, navigasi dan pengurusan kecemasan semasa berada ditengah-tengah lautan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Bharu, Nik Mohd. Kamal Husin berkata, ia turut memberikan pengetahuan kepada golongan nelayan berkaitan aspek undang-undang maritim.
Katanya, sebelum ini kebanyakan nelayan hanya bergantung kepada pengalaman semata-mata sepanjang berada di laut tanpa pendedahan formal berkaitan undang-undang maritim dan prosedur keselamatan.
“Dengan adanya sijil ini, nelayan akan lebih faham tanggungjawab mereka di laut, tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan, kerosakan bot atau insiden tidak diingini.
“Selain itu mereka mampu membaca peta dan mengurus navigasi dengan lebih sistematik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Tamat Kursus Jurumudi (Mate Domestic) di sini hari ini yang dirasmikan oleh Presiden Polaris Maritime Training Academy Sdn. Bhd, Muhammad Amir Abdullah.
Nik Mohd. Kamal memberitahu, penguatkuasaan pemilikan sijil jurumudi bot kepada nelayan yang mengendalikan bot pancing juga mampu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan perkhidmatan yang ditawarkan.
Katanya, kursus selama seminggu itu merangkumi latihan teori dan praktikal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman serta bertauliah dalam bidang maritim.
“Ia sekali gus melahirkan nelayan yang lebih profesional dan berdisiplin. Kita mengambil inisiatif menganjurkan kursus berkenaan sebagai khidmat sosial bagi membantu nelayan dan penduduk setempat mendapatkan sijil tersebut dengan kos lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu RM1,900 sahaja.
“Matlamat kami bukan mengejar keuntungan, sebaliknya mahu membantu nelayan meningkatkan tahap ilmu dan kemahiran supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran serta risiko di laut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nik Mohd. Kamal berkata, setakat ini tahap kesedaran dalam kalangan nelayan masih rendah dan tidak sampai 10 peratus daripada 600 nelayan berdaftar di bawah persatuan berkenaan memiliki sijil jurumudi bot.
“Kumpulan pertama melibatkan 24 peserta dan sesi seterusnya dijangka diadakan pada Februari depan.
“Menariknya, kita juga akan memantau nelayan yang telah mengikuti kursus ini bagi memastikan ilmu yang diperoleh diaplikasikan sepenuhnya,” ujarnya.
Nik Mohd. Kamal berkata, inisiatif tersebut dapat menjadi penanda aras kepada persatuan nelayan lain di seluruh negara ke arah melahirkan komuniti nelayan yang lebih berilmu, berkemahiran tinggi serta mematuhi undang-undang maritim.-UTUSAN










