Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan 17 meter dalam tanah runtuh - Utusan Malaysia

Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan 17 meter dalam tanah runtuh

HAFISHAM Mohd Noor pada sidang akhbar perkembangan operasi pencarian mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Mayat kanak-kanak perempuan yang merupakan mangsa ke-25 kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm (FoF) ditemukan di bawah runtuhan sedalam 17 meter di Sektor C (Riverside), malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa ditemukan pada pukul 10.49 malam di sebalik batu besar selepas tanah runtuh berkenaan dikorek menggunakan jengkaut.

Menurut Hafisham, operasi SAR sebelum ini hanya mengorek tanah runtuh sedalam tujuh hingga lapan meter sebelum beralih ke lokasi lain disebabkan terdapat batu besar.

“Sebelum ini kita korek dalam tujuh ke lapan meter, sebelum kita berhenti pergi ke kawasan lain, kita ingat kedalaman sudah cukup sebab kita jumpa batu besar.

“Rupanya dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) tanah itu dalam lagi, jadi kita korek lagi,” katanya pada sidang akhbar operasi SAR tanah runtuh FoF di Jalan Batang Kali-Genting Higlands, di sini hari ini.

Tambahnya, usaha mencari di Sektor C sedang giat dilaksanakan di mana timbunan tanah runtuh akan dialih menggunakan jengkaut sebelum dibuang ke kawasan lain bagi memudahkan pasukan SAR mengesan lapan lagi mangsa.

“Kita akan korek tanah dan buang terus ke tempat lain. Maknanya kita bersihkan tempat itu dan usaha kita akan perinci satu persatu supaya kita dapat jumlah mangsa.

“Petunjuk baharu ini juga merupakan petunjuk baik kepada pasukan SAR dan insya-Allah doakan kita akan berjaya hari ini dan selamat daripada sebarang bahaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, mayat kanak-kanak perempuan dianggar berusia antara enam hingga 10 tahun itu ditemukan pasukan penyelamat berpakaian baju tidur berwarna merah jambu.

“Perkembangan terbaharu semalam pasukan SAR berjaya menemukan seorang lagi mangsa yang tertimbus dipercayai satu kanak-kanak perempuan berusia anggara enam hingga 10 tahun dan mangsa berpakaian seluar serta baju tidur berwarna merah jambu.

“Turut dijumpai empat buah beg mengandungi pakaian dan laptop, namun tiada sebarang pengenalan diri ditemukan di dalam beg atau di samping mayat tersebut,” katanya.

Tambahnya, mayat kanak-kanak perempuan berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Terdahulu operasi SAR lapan lagi mangsa diteruskan pada pukul 8 pagi tadi melibatkan 106 pegawai dan anggota diketuai JBPM dan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Operasi SAR berkenaan disambung selepas pasukan penyelamat berjaya menemukan mayat ke-25 yang merupakan seorang kanak-kanak perempuan 11.15 malam tadi.

Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FoF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.

Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya