Jepun berpesta gol, Tunisia tersungkur di Monterrey

Jepun berpesta gol, Tunisia tersungkur di Monterrey

PEMAIN Jepun, Daichi Kamada meraikan jaringan pertama ketika aksi Kumpulan F Piala Dunia menentang Tunisia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTERREY: Jepun mempamerkan kelas tersendiri apabila membelasah Tunisia 4-0 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Estadio Monterrey, sekali gus menghidupkan semula peluang Samurai Biru untuk mara ke pusingan kalah mati.

Selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Belanda dalam perlawanan pembukaan, anak buah Hajime Moriyasu tampil dengan misi wajib menang dan mereka tidak menunggu lama untuk menunjukkan kesungguhan tersebut.

Jepun hanya memerlukan empat minit untuk memecahkan kebuntuan menerusi Daichi Kamada yang bijak memanfaatkan kelalaian benteng Tunisia sebelum meletakkan pasukannya di hadapan.

Tunisia yang dibelasah Sweden 5-1 dalam aksi pertama cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun Jepun terus menguasai permainan menerusi gerakan pantas dan hantaran kemas yang menjadi identiti mereka.

Ayase Ueda kemudian menggandakan kelebihan Jepun pada minit ke-31 selepas menyudahkan gerakan serangan sekali gus memberikan kelebihan selesa 2-0 kepada Samurai Biru menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Tunisia berusaha memperkemaskan permainan, namun Jepun terus tampil lebih tersusun dan berbahaya setiap kali melancarkan serangan.

Pemain sayap berpengalaman, Junya Ito menambah derita wakil Afrika itu apabila meledak gol ketiga pada minit ke-69 hasil serangan balas pantas yang memecahkan benteng pertahanan lawan.

Ueda melengkapkan hari gemilang Jepun apabila menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan pada minit ke-83 untuk memastikan kemenangan besar 4-0 menjadi milik pasukan dari Asia itu.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mengembalikan keyakinan Jepun dalam saingan Kumpulan F, malah membuktikan mereka masih antara pencabar yang mampu mencipta kejutan pada kejohanan kali ini.

Bagi Tunisia pula, kekalahan kedua berturut-turut menyaksikan mereka sudah di zon penyingkiran, manakala Jepun kini boleh menumpukan perhatian kepada pertemuan terakhir kumpulan menentang Sweden yang dijangka menjadi penentu nasib kedua-dua pasukan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN