IPOH: Polis tidak menerima sebarang laporan kecurian mahupun kehilangan harta benda membabitkan kediaman penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut di Bercham, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pergerakan keluar masuk di kawasan bencana kini dipantau rapi pihaknya bagi memastikan keselamatan kediaman mangsa sentiasa terjamin.
Katanya, kawasan terlibat mula dikawal sejak malam semalam dengan kelonggaran diberikan sehingga pukul 9 malam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan oleh penduduk dan agensi berkaitan dijalankan.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan kejadian jenayah atau barang dicuri. Kita pun telah ‘cordon’ kawasan bencana dan mengehadkan akses di kawasan tersebut.
“Kita tidak boleh tutup sepenuhnya kerana proses pembersihan masih berlaku tapi untuk malam, kawalan akan lebih ketat kerana kita bimbang berlaku kes kecurian, tambahan pula di Anjung Bercham masih tiada bekalan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Polis Bercham di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 492 laporan berkaitan ribut yang melanda beberapa kawasan di Bercham diterima pihaknya setakat pukul 8 pagi tadi.
Katanya, sebanyak 373 laporan diterima daripada penduduk di zon yang terjejas, manakala 119 lagi laporan diterima daripada kawasan di luar zon bencana.
“Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 5 petang semalam, seramai 349 keluarga telah mendaftar sebagai mangsa ribut,” katanya.
Menerusi laporan media pada Jumaat lalu, lebih 200 kediaman di kawasan Bercham terjejas susulan hujan lebat berterusan disertai angin kencang selama hampir dua jam.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Bercham Idaman, Taman Ramai, Anjung Bercham Utara, Taman Mujur, Taman Restu Jaya, Taman Bercham Maju, Kampung Bercham, Lorong 18 dan 19, Taman Pusat Bercham, Taman Cahaya dan Kampung Tersusun Tasek. – UTUSAN










