Yusof Haslam harap Syamsul selesaikan OG, Khawarij tahun ini - Utusan Malaysia

Yusof Haslam harap Syamsul selesaikan OG, Khawarij tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun tergendala, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam berharap dua karya arahan anaknya, Syamsul Yusof iaitu The Original Gangster (OG) dan Khawarij, dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun ini.

Yusof, 72, berkata kedua-dua filem berkenaan kini hanya memerlukan sentuhan akhir sebelum boleh dipertimbangkan untuk tayangan kepada umum pada tahun depan.

Menurutnya, beliau sendiri sempat bertemu Syamsul ketika sambutan Aidilfitri lalu dan pengarah itu menyatakan komitmen untuk menyiapkan karya yang sudah lama dinantikan tersebut.

“Filem Syamsul ini sudah masuk empat tahun, terutama OG. Saya jumpa dia pada hari raya lalu, dia balik ke rumah dan beritahu, ‘insya-Allah pa, saya akan selesaikan’.Saya harap dan mudah-mudahan dia akan selesaikan filem OG pada hujung tahun ini untuk ditayangkan pada tahun depan.

“OG dah tinggal suntingan akhir dan saya percaya, insya-Allah pada tahun ini dia akan siapkan. Filem Khawarij juga mungkin akan ditayangkan tahun depan, mungkin penghujung tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berharap Syamsul terus bersemangat menghasilkan lebih banyak karya baharu selepas ini, selain menyelesaikan amanah terhadap projek yang masih tertangguh.

Beliau tidak menolak kemungkinan kelewatan menyiapkan beberapa filem Syamsul sebelum ini berpunca daripada masalah peribadi yang dilalui pengarah berkenaan.

“Mungkin dulu dia lewat (siapkan filem) sebab masalah peribadi. Kita tak tahu masalah orang. Saya akan terus mendoakan Syamsul agar kekal beristiqamah, kuatkan semangat juang buat filem dan selesaikan kerja-kerja filem yang terbengkalai sebab ramai orang menunggu,” katanya.

Yusof berkata, perkara itu sering ditanyakan kepadanya setiap kali beliau menghadiri sesuatu acara atau berada di luar.

“Saya pergi mana-mana, orang akan tanya, ‘Datuk, OG dan Khawarij bila keluar?’ Saya kata bukan filem saya. Tetapi saya dan isteri mendoakan yang terbaik untuk dia.

“Walaupun dia tidak bekerja di bawah naungan Skop Productions pun saya tidak kisah, asalkan dia pegang amanah orang dan selesaikan filem,” katanya.

Sementara itu, Yusof memaklumkan anaknya, Syafiq Yusof yang juga pengarah bakal meneruskan projek kesinambungan Blood Brothers yang dijangka diterbitkan tahun depan.

Terdahulu, OG dan Khawarij yang diarahkan Syamsul diumumkan secara rasmi pada 2022, namun kedua-dua filem berkenaan tertangguh daripada ditayangkan.

Kelewatan itu berlaku susulan kemelut peribadi yang dilalui Syamsul serta ketiadaan perkembangan mengenai projek berkenaan untuk suatu tempoh.

Filem OG menampilkan barisan pelakon popular termasuk Sharnaaz Ahmad, Beto Kusyairy, Shaheizy Sam dan Datuk Rosyam Nor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN