Kerajaan Persekutuan culas, tidak adil - Mohd. Hairi - Utusan Malaysia

Kerajaan Persekutuan culas, tidak adil – Mohd. Hairi

Mohd. Hairi Mad Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk tidak berdolak-dalih dan melemparkan tuduhan tidak sepatutnya terhadap pentadbiran kerajaan negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawab menjaga rakyat Johor sebagai rakan kongsi, bukan sebagai sumber kutipan hasil semata-mata.

“Saya ingin menjawab terus kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi ‘banyak bocor’. Sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, ya memang banyak bocor, tetapi kepimpinan Persekutuan yang culas dan tidak adil yang membocorkan Johor,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd. Hairi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin berkata, Johor ‘bocor’ kerana hasilnya disedut keluar dan tidak dikembalikan secara saksama kepada negeri ini.

“Ini realiti apabila pemimpin hanya pandai berkata-kata menuding jari kepada negeri, tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab asas terhadap rakyat Johor. Sedangkan keperluan paling asas membaiki sekolah, menaik taraf hospital, membaik pulih jalan raya, terpaksa tunggu kelulusan dan belas kasihan Putrajaya.

“Titah Tunku Mahkota Ismail bukan sekadar suara seorang pemimpin sebaliknya suara hati 4.9 juta rakyat Johor yang selama ini terpaksa menanggung ketidakadilan struktur perkongsian hasil kerajaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Johor berdepan banyak ‘kebocoran’ sehingga menyebabkan pembangunan di negeri ini tidak dapat dilaksana secara menyeluruh.

Baginda bertitah, kerajaan Persekutuan turut menjadi punca perkara itu berlaku apabila tidak mengembalikan hasil pendapatan negeri secara adil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN