MAIS pantau 14 ajaran sesat aktif di Selangor - Utusan Malaysia

MAIS pantau 14 ajaran sesat aktif di Selangor

Ajaran sesat
ABDUL AZIZ Mohd. Yusof (tengah) bersama penerima ganjaran dan peserta program itu di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang memantau ketat sebanyak 14 ajaran sesat yang dikesan masih bergiat aktif di negeri termasuklah ajaran Millah Abraham, Syiah, Al-Arqam@Rufaqa’ dan Qadiani@Ahmadiah.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, segelintir umat Islam mudah tertarik dengan perkara indah namun tidak menyedari ia sebaliknya terpesong, justeru pemantauan rapi sentiasa dijalankan secara berterusan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai yang berasa curiga atau keliru mengenai sesebuah ajaran supaya segera merujuk kepada MAIS.

“Selain itu, mereka boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) 2022 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Pada program itu, beliau turut menyerahkan ganjaran RM1.03 juta kepada 81 PIBK yang bernaung di bawah MAIS atas komitmen menangani isu ancaman akidah dan sosial umat Islam.

Kumpulan ajaran sesat Millah Abraham sebelum ini dilaporkan dikesan kewujudannya beberapa tahun lalu dan kini kembali hangat selepas beberapa pengikut termasuk seorang selebriti lelaki mendedahkan terjebak dengan kumpulan berkenaan.

Jelas Abdul Aziz, orang ramai yang mempunyai kesangsian berkaitan ajaran sesat turut boleh merujuk kepada 97 PIBK yang berdaftar di bawah MAIS.

“Kita termasuk JAIS sememangnya tidak mampu untuk bergerak secara bersendirian terutama bagi menjalankan penguatkuasaan. PIBK antara pihak yang turut bekerjasama dengan kita dan terbuka membantu mereka yang terjebak dalam ajaran sesat,” ujarnya.

Tambah beliau, umat Islam dinasihatkan tidak terpedaya dengan ajaran sesat termasuk menerusi media sosial dan merujuknya kepada pihak berkuasa berkaitan.

Sebelum ini seramai 58 individu dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, terhadap pertuduhan cuba menjelaskan kepercayaan agama yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu ajaran Millah Ibrahim @Abraham dan mengajar ajaran itu tanpa tauliah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya