MAINPP jumpa Ustaz Kazim Elias, beberapa penceramah lain minggu depan - Utusan Malaysia

MAINPP jumpa Ustaz Kazim Elias, beberapa penceramah lain minggu depan

AHMAD ZAKIYUDDIN Abd. Rahman (tengah) ketika menghadiri Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama dan al-Quran Pulau Pinang 2022, di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Beberapa individu termasuk penceramah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Isnin depan.

Ia susulan larangan 16 individu termasuk Ustaz Mohd. Kazim untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, pertemuan itu diaturkan selepas pihaknya menerima surat daripada beberapa individu tersebut pada awal November lalu.

”Pertemuan ini akan diadakan di pejabat saya di Komtar, Isnin depan, sebelum ini saya ada menerima surat yang memaklumkan hasrat beberapa individu termasuk Mohd Kazim untuk berbincang mengenai isu ini.

“Pada perbincangan ini juga, kita akan terangkan mengapa larangan tersebut dilaksanakan, saya difahamkan daripada 16 individu tersebut ada yang sudah memohon tauliah dan ada yang telah dapat pun tauliah,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama dan Al-Quran Pulau Pinang 2022, di sini hari ini.

Sebelum ini, seramai 16 individu termasuk Ustaz Mohd. Kazim dilarang mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Selain Ustaz Mohd. Kazim, individu lain ialah Shaharudin Ibrahim; Datuk Ahmad Husam Baderudin; Wan Hizam Abdullah Sabil; Yusni Mat Piah; Shahrir Long; Sobri Arshad; Aiman Subri; Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Turut dilarang ialah Afnan Hamimi Taib Azamudden; Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle; Salman Ali; Maulana Fakhrurrazi; Mohd Rizal Azizan; Halim Hassan dan Dr. Abdullah Yassin.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, pada pertemuan itu juga, beliau akan memaklumkan kepada individu berkenaan mereka bukan disenaraihitamkan cuma dilarang kerana tidak mempunyai tauliah.

“Mereka boleh memohon kelulusan tauliah daripada MAINPP sekiranya mahu mengadakan kuliah agama secara berterusan di negeri ini.

“Mengadakan kuliah, ceramah atau majlis agama tanpa tauliah adalah perlanggaran peraturan yang serius, peraturan ini bukan sahaja wujud di Pulau Pinang malah semua negeri ada,” katanya.

Tambah beliau, larangan yang dikeluarkan itu adalah salah satu usaha MAINPP dalam memperkemaskan sistem kuliah sedia ada.

“Kita keluarkan larangan ini bertujuan memperkemaskan sistem sahaja, bukan mahu sekat siapa-siapa untuk beri kuliah atau ceramah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.