MAINPP, Zakat Pulau Pinang ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah

MAINPP, Zakat Pulau Pinang ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah

MOHAMAD Abdul Hamid (kanan) bersama Habib Rahman Seeni Mohideen ketika sidang akhbar untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa menyebarkan fitnah terhadap dirinya, MAINPP dan Zakat MAINPP di George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memulakan tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan pengurusan institusi berkenaan.

Antara individu yang menerima surat tuntutan (LOD) ialah aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard; Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan; Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias; serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd. Yusni Mat Piah.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, segala dakwaan yang dibangkitkan terhadap dirinya, Zakat MAINPP dan MAINPP sejak kebelakangan ini tidak berasas, tidak berpandukan fakta sebenar serta berniat jahat bagi membina persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Tuduhan yang dibangkitkan terhadap saya, Zakat MAINPP dan MAINPP tidak berdasarkan fakta sebenar serta bersifat tohmahan dengan niat jahat. Perkara ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah turut mencemarkan reputasi serta kewibawaan institusi agama Islam di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat MAINPP di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan di media sosial berkaitan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah serta penyelesaian bayaran baki pinjaman perumahan menggunakan dana zakat.

Menurut Mohamad, bagi mempertahankan reputasi dan integriti institusi berkenaan, pihaknya telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan tuduhan tersebut.

“Tindakan undang-undang ini diambil bagi mempertahankan maruah serta kewibawaan institusi agama Islam negeri daripada terus diperkotak-katikkan demi agenda politik pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, peguam yang dilantik, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen berkata, individu yang dinamakan diberikan tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk menghentikan penyebaran kenyataan berunsur fitnah serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Selain itu, mereka juga diminta memberi akujanji untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan yang sama di mana-mana platform.

“Sekiranya pihak berkenaan gagal mematuhi tuntutan tersebut dalam tempoh diberikan, kami akan meneruskan tindakan dengan memulakan prosiding di mahkamah.

“Pihak kami juga sedang mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat menyebarkan tuduhan sama termasuk mereka yang menggunakan nama samaran atau berlindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berdaftar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×