PETALING JAYA: Keperluan memaparkan maklumat perolehan kepada masyarakat merupakan antara tujuh syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berhubung pengurusan tabung masjid dan surau.
SPRM Pulau Pinang memaklumkan, kesemua cadangan itu dibuat hasil pemeriksaan Kertas Penyiasatan Tatakelola (KPT) yang mengenal pasti kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan tabung masjid dan surau bagi tujuan pembinaan, pengubahsuaian dan naik taraf di bawah MAINPP.
Antara syor utama ialah penambahbaikan garis panduan sedia ada dengan memperincikan kategori kerja penyelenggaraan dan naik taraf, penetapan had nilai perolehan yang lebih tersusun, serta pewujudan tatacara pemilihan syarikat yang standard dan telus.
Cadangan lain termasuk keperluan memaparkan maklumat perolehan kepada pengetahuan masyarakat, penambahbaikan borang Lafaz Ikrar Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid, penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memantau urusan perolehan, serta pewartaan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam kepada semua masjid dan surau di seluruh negeri.
Menurut SPRM, kelemahan berkenaan berpotensi membuka ruang serta peluang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.
Kesemua syor tersebut telah dibentangkan oleh Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S. Karunanithy dan disambut baik oleh Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain, pada satu majlis yang berlangsung di pejabat MAINPP, semalam.
Rosidi berkata, MAINPP komited untuk melaksanakan cadangan berkenaan secara berperingkat bagi memastikan pengurusan tabung masjid dan surau dilaksanakan dengan lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Majlis itu turut disusuli dengan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM Pulau Pinang dan MAINPP. – UTUSAN









