Lewat bayar gaji empat bulan, syarikat didenda RM66,000 - Utusan Malaysia

Lewat bayar gaji empat bulan, syarikat didenda RM66,000

ABDUL Rahim Abdul Rahman (kanan) hadir mewakili Syarikat Airod Sdn. Bhd. di Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat bulan tangguh bayaran gaji sehingga 11 pekerja menyebabkan sebuah syarikat penyelenggaran komponen penerbangan dan aeroangkasa didenda RM66,000 atas 44 pertuduhan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Syarikat Airod Sdn. Bhd. (Airod) selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili Presiden Kumpulan Syarikat National Aerospace & Defence Industries Bhd (NADI), Brigeder Jeneral (Bersara) Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Majistret dalam penghakimannya memberitahu hukuman tersebut dijatuhkan selepas mahkamah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap mitigasi rayuan wakil syarikat dan mengambil kira hujahan pihak pendakwa.

“Mahkamah juga melihat keadaan syarikat yang tidak melakukan pembuangan kerja. Justeru, denda RM1,500 dikenakan bagi setiap 44 pertuduhan itu dan berharap tidak berulang lagi,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat terbabit dituduh gagal mematuhi pembayaran upah itu kepada 11 pekerja lelaki berusia 35 hingga 62 tahun bagi untuk bulan Mac hingga Jun tahun ini.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan syarikat berkenaan di bangunan kumpulan syarikat Nadi di Jalan Lapangan Terbang Subang, Subang pada 5 September lalu.

Justeru, Airod didakwa mengikut Seksyen 19(1), Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 99A akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, OKS menerusi Abdul Rahim merayu hukuman dan denda yang minima ekoran syarikat yang mempunyai jumlah pekerja seramai 420 orang lewat menerima bayaran daripada pihak berkaitan ketika pandemik Covid-19.

“Bukan niat untuk tidak bayar sebaliknya lewat disebabkan turut membayar pinjaman selain menggunakan wang sendiri. Syarikat juga tidak membuang pekerja.

“Sekarang Alhamdulillah, pembayaran upah tepat masa dengan syarikat-syarikat penerbangan pun telah beroperasi seperti biasa. Justeru, harap denda minimum bagi memastikan aliran tunai baik kepada syarikat untuk membeli barangan atau komponen,” jelasnya. 

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Muhammad Rifaee Muhammad Salleh dan S. Vejayaletchumi mencadangkan hukuman berat terhadap syarikat tersebut kerana melakukan kesalahan sama sebelum ini dan dikompaun sebanyak RM30,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya