Kuasa kawal selia gas dipindah kepada Kerajaan Sabah - Utusan Malaysia

Kuasa kawal selia gas dipindah kepada Kerajaan Sabah

ANWAR Ibrahim ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita pindahkan kuasa kawal selia bekalan gas yang dahulunya di peringkat Petronas Persekutuan, iaitu dipindahkan kepada Sabah. Ini telah berlaku untuk Sarawak dan sekarang di Sabah.

“Tentunya tarikh pelaksanaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, jadi proses itu saja tapi kelulusan Kabinet dah diperakui hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak mempunyai kuasa penuh bagi mengawal selia aktiviti pengedaran gas di negeri berkenaan setelah Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962 berkuat kuasa 1 Jun 2021.

Anwar menjelaskan, menerusi pemindahan kuasa tersebut, peletakan harga dan perjanjian baharu bekalan gas di Sabah akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri.

“Kuasa peletakan harga dan perjanjian baharu itu dahulunya diputuskan di pusat, tetapi pemindahan ini menetapkan kuasa ke Sabah. Tentunya ada proses rundingan, tapi proses itu kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan MA63, beliau berkata, beberapa kemajuan akan diumumkan bulan depan.

“Soal MA63, seperti kita tahu ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Kita bagi tempoh sebulan dan insya-Allah awal Januari, bila genap sebulan kita akan umumkan beberapa kemajuan jauh lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan.

“Walaupun ada hal-hal lain melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang, itu terpaksa ditangguhkan hingga sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Menurut Anwar, kebanyakan terma MA63 sudah dapat diselesaikan tetapi beberapa isu masih menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin di Sarawak dan Sabah.

Fadillah sebelum ini diberikan tugas untuk memastikan semua perkara yang masih tersangkut dalam MA63 disegerakan dan diberi tempoh sebulan supaya penyelesaian ketara dapat dicapai dalam menangani isu ditimbulkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya