Kor Ming fokus tujuh agenda utama teraju baharu KPKT - Utusan Malaysia

Kor Ming fokus tujuh agenda utama teraju baharu KPKT

NGA Kor Ming memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming akan memfokuskan tujuh agenda utama untuk digerakkan dengan berkesan sebagai teraju baharu di kementerian itu.

Kor Ming berkata, beliau juga akan memastikan lebih banyak libat urus dijalankan dengan pelbagai pihak bagi membantu KPKT dalam membuat perancangan lebih menyeluruh, berfokus dan memberi manfaat lebih baik kepada semua.

“Fokus pertama adalah membangun dan memperkasa peranan kerajaan tempatan agar lebih berintegriti dan berwibawa supaya dapat memberikan perkhidmatan lebih efisien. Seterusnya membangun potensi pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai organisasi kukuh kewangan dan merancakkan ekonomi setempat.

“Selain itu, ia membabitkan perancangan perumahan yang lebih komprehensif dengan mengambil kira isu-isu pemilikan dan pembinaan rumah serta kumpulan sasar, meningkatkan pemerkasaan komuniti dalam pembangunan bandar dan pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif dengan meningkatkan kaedah pengurusan ‘waste to energy’.

“Fokus turut diberikan dengan memperkukuh agenda bandar pintar dan bandar selamat selain kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan supaya dapat memberi perkhidmatan secara cepat dan berkesan termasuk peralatan, penambahan balai serta peningkatan pasukan itu sendiri,” katanya menerusi sidang media pertama beliau di sini hari ini.

Terdahulu, Kor Ming mengimbas kad perakam waktu pada pukul 8.50 pagi sekali gus secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan disambut oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib serta pengurusan kanan KPKT.

Kor Ming berkata, beliau juga akan meneliti program-program yang sedang dalam perancangan dan pelbagai peringkat pelaksanaan selain akan meneruskan program-program yang baik.

“Saya pasti sudah banyak pencapaian baik yang telah dilaksanakan oleh kementerian di bawah kepimpinan terdahulu, pastinya saya akan turut memberi tumpuan kepada nilai tambah serta memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang akan diterapkan kemudian sebagai agenda utama. Saya berharap dengan sinergi pasukan baru ini, saya akan turut diberi peluang untuk memimpin dengan baik demi memartabatkan agenda negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya