KANGAR: Kerajaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM20.1 juta sehingga semalam, bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri ini.
Dari jumlah tersebut, sebanyak RM15.1 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan termasuk pembaikan kerosakan infrastruktur berpunca daripada bencana alam seperti ribut serta insiden luar jangka yang berlaku sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, selain itu, sebanyak RM2.11 juta dan RM2.9 juta disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih, menaik taraf bilik guru dan ruang sedia ada untuk dijadikan bilik darjah sebagai persediaan menerima kemasukan murid tahun satu pada 2027.
“Secara keseluruhan, terdapat 35 projek di Perlis yang dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM73.79 juta. Pelaksanaan 35 projek tersebut terdiri daripada 10 projek baharu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan (RP1) dan 25 projek sambungan.
“Daripada 35 projek di Perlis, sebanyak 24 projek merupakan projek pembinaan/naik taraf, lima projek perolehan tanah dan enam projek perolehan kelengkapan/ peralatan,” katanya pada majlis perasmian bangunan baharu JPN di sini, hari ini.
Kah Woh berkata, perasmian bangunan JPN itu merupakan tanda komitmen dan kesungguhan KPM dalam menyediakan prasarana kondusif, moden dan selamat dalam usaha menyokong sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan terbaik.
Katanya, bangunan JPN Perlis berkeluasan 6,4574 hektar mula dibina pada Ogos 2023 dan siap Oktober tahun lalu.
“Projek ini melibatkan pembinaan pelbagai komponen bangunan yang direka bentuk untuk memenuhi keperluan pentadbiran, kegiatan serbaguna dan kemudahan sokongan. Bangunan ini terdiri daripada tiga blok utama, blok A menempatkan bangunan pengurusan dan pentadbiran, memiliki tiga aras
“Blok B pula menempatkan sebuah surau dengan seni bina islamik moden dan blok C dilengkapi dewan serbaguna sebagai ruang multifungsi dilengkapi sistem pencahayaan lampu diod pemancar cahaya (LED) pintar dan dewan berkapasiti menampung 400 hingga 500 orang,” katanya.
Katanya, selain pembangunan prasarana, KPM turut memberi perhatian serius kepada pembangunan modal insan yang bakal mencorak masa depan negara dengan melaksanakan pelbagai transformasi dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Pada tahun ini, kita menyaksikan detik paling bersejarah buat seluruh ekosistem pendidikan negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah meluncurkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang merupakan pelan rancangan satu dekad yang merangkumi strategi holistik berteraskan acuan Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN










