KKM lancar penggunaan teknologi kamera badan

KKM lancar penggunaan teknologi kamera badan

ZALIHA Mustafa menyempurnakan acara pemakaian Kamera Badan kepada Penguat kuasa di KKM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan inisiatif penggunaan teknologi kamera badan dalam tugas-tugas penguatkuasaan mereka di lapangan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penggunaan kamera badan itu bukan sahaja dapat memastikan ketelusan dalam pelaksanaan penguatkuasaan, malah dapat menjaga kebajikan dan keselamatan pegawai penguat kuasa.

Beliau berkata, penggunaan teknologi itu dimulakan khusus bagi kerja-kerja penguatkuasaan kakitangan dan pegawai Program Kesihatan Awam dan Program Farmasi.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada KKM atas inisiatif penggunaan teknologi kamera badan dalam tugas penguatkuasaan.

“Pemakaian kamera badan kepada pegawai penguat kuasa juga dapat memelihara integriti dan meningkatkan imej KKM,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKM di sini, hari ini.

Terdahulu, sesi Simbolik Pemakaian Kamera Badan kepada Penguatkuasa KKM disempurnakan Dr. Zaliha sambil disaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Teknologi kamera badan itu digunakan ketika operasi penguatkuasaan bagi mengatasi isu ancaman dan halangan yang dilaporkan berlaku ke atas pegawai penguatkuasa oleh penjual, pemilik premis dan orang awam.

Antara ancaman tersebut adalah ugutan bunuh, cubaan memukul dengan batang besi, ancaman lisan dengan kata-kata kesat serta cubaan memberi rasuah.

Oleh yang demikian, pemakaian kamera badan ini diharap dapat membantu dari segi pembuktian atau bukti balas yang sewajarnya untuk anggota penguat kuasa yang berisiko ditohmah dan difitnah dengan pelbagai tuduhan ketika menjalankan operasi penguatkuasaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya