Kerajaan negeri bangunkan 1,325 hektar dengan tanaman kelapa

Sidang DUN Johor: Kerajaan negeri bangunkan 1,325 hektar dengan tanaman kelapa

KERAJAAN Negeri Johor merancang membangunkan kawasan tanaman kelapa seluas 1,325 hektar dengan unjuran pengeluaran sebanyak 124,313 tan metrik menjelang tahun 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri merancang membangunkan kawasan tanaman kelapa seluas 1,325 hektar dengan unjuran pengeluaran sebanyak 124,313 tan metrik menjelang tahun 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, ini bertujuan memenuhi keperluan kelapa negara dan mengekalkan Johor sebagai pengeluar utama kelapa.

“Johor merupakan pengeluar benih kelapa utama dalam negara, namun keperluan benih kelapa setahun dianggarkan sebanyak 53,000 benih kelapa. 

“Ia tidak mencukupi kerana kemampuan pengeluaran benih kelapa yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Jorak (Pusat Bekalan Benih Kelapa) ialah kira-kira 28,000 benih kelapa setahun. 

“Kerajaan negeri telah merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran benih kelapa dengan memperkasakan lagi pusat pengeluaran benih kelapa seperti di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Masai, Parit Botak Batu Pahat di bawah kelolaan Jabatan Pertanian,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, tanaman kelapa di Johor adalah seluas 12,151 hektar melibatkan 9,898 pengusaha dengan hasil keluaran 118,278 tan metrik pada tahun lalu.

Jumlah pengeluaran ini adalah melebihi anggaran keperluan permintaan kelapa di negeri ini, iaitu kira-kira 105,000 tan metrik setahun. 

“Walau bagaimanapun, merujuk kepada kadar sara diri negara, iaitu dengan kadar 66.6 peratus, ia menunjukkan kekurangan yang sangat ketara di seluruh negara. 

“Justeru, sebagai pengeluar utama kelapa negara, Johor menyasarkan keluaran kelapa yang lebih besar dari semasa ke semasa, maka Kerajaan negeri merancang memberi fokus terhadap tanaman ini

“Bagi menampung keperluan tersebut dan akibat tanaman yang rosak, kekurangan nutrien, masalah iklim, diserang penyakit dan lain-lain masalah global, tambahan kawasan kelapa dan tanaman semula kawasan kelapa yang diperlukan ialah sebanyak 2,650 hektar,” katanya.

Pada tahun ini, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM500,000, manakala kerajaan negeri menyediakan dana RM400,000 bagi program pemulihan dan tanam semula kelapa di Johor, masing-masing di kawasan seluas 463 dan 96 hektar. 

Bagi menyokong aktiviti penanaman kelapa, kerajaan negeri menggalakkan setiap permohonan tanah kerajaan untuk mengusahakan tanaman untuk pertanian bagi menggalakkan penanaman kelapa.

“Kelapa adalah antara tanaman utama di Johor, terutamanya di daerah Batu Pahat, Pontian dan Muar. Kawasan kelapa baharu  turut diwujudkan di kawasan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) Kota Tinggi dan Projek Pertanian Moden Kluang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya