KUALA LUMPUR: Pembukaan Stesen KTM Komuter Segambut Utara yang baharu dijangka memberi manfaat kepada hampir 90,000 penduduk di sekitar Segambut, Kepong, Jinjang dan Bukit Kiara selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, stesen itu memperkukuh ketersambungan pengangkutan awam dan menjadi pemangkin kepada perubahan corak mobiliti harian penduduk setempat yang selama ini bergantung kepada kenderaan persendirian.
Katanya, stesen ini dibangunkan dengan kos sebanyak RM39 juta menerusi kerjasama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan anak syarikat UOA Development Berhad, IDP Industrial Development Sdn. Bhd.
“Pembukaan stesen merupakan manifestasi jelas komitmen kerajaan dalam membangunkan sistem pengangkutan yang cekap, inklusif dan berorientasikan rakyat.
“Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, cabaran pengangkutan awam tidak boleh ditangani secara berasingan.
“Ia memerlukan perancangan bersepadu yang merangkumi dasar guna tanah, pembangunan bandar, akses mobiliti dan keupayaan sistem rel sedia ada,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran stesen berkenaan di ibu negara, hari ini.
Mengulas mengenai kapasiti, Anthony Loke berkata, stesen itu mampu menampung sehingga 8,000 penumpang sejam bagi setiap arah semasa waktu puncak dan dijangka mengendalikan kira-kira 580,000 penumpang setahun.
“Ia juga disasarkan meningkatkan jumlah penumpang laluan Tanjung Malim–Pelabuhan Klang sebanyak dua peratus dalam tempoh enam bulan pertama operasi,” katanya.
Beliau berkata, unjuran populasi penduduk di stesen itu dijangka meningkat kepada lebih 100,000 orang pada masa hadapan, menjadikannya antara hab transit penting dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang.
“Perancangan pembinaan stesen ini dibuat berdasarkan penelitian data yang mendalam terhadap corak pergerakan harian pengguna dan keperluan jangka panjang kawasan sekitar.
“Perancangan pembinaan stesen ini bukan bersifat reaktif, sebaliknya berasaskan data dan mengambil kira keperluan serta corak penggunaan jangka panjang di kawasan sekitar,” katanya.
Bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam, katanya, kerajaan turut menawarkan kemudahan parkir percuma selama tiga bulan di stesen berkenaan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengumumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melanjutkan perkhidmatan bas GoKL ke stesen berkenaan.
“Laluan bas GoKL 13 dari MRT Jinjang ke hentian bas stesen ini akan ermula 1 Jun ini bagi memantapkan ketersambungan batuan pertama dan terakhir.
“Laluan tambahan sejauh 500 meter itu akan beroperasi setiap hari bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam,” katanya. – UTUSAN










