IPOH: Taman Digital AI NexQuantum bakal dibangunkan di Ipoh iaitu sebuah platform infrastruktur digital dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.
Kolaborasi antara syarikat Cahya Suria Services Sdn. Bhd. dan Suzhou EnnoTHING Technology Co. Ltd. itu menjalinkan kerjasama strategik menerusi NexQuantum 1 Sdn. Bhd. dengan menggabungkan keupayaan pembangunan projek tempatan dan teknologi antarabangsa.
Ia bertujuan mewujudkan ekosistem digital bernilai pasaran tinggi yang memfokuskan kepada infrastruktur sedia AI, perkhidmatan awan (cloud), operasi pintar, kelestarian, pembangunan bakat dan ketersambungan digital serantau.
Menurut Ong Teng Boon yang mewakili Cahya Suria Services Sdn. Bhd. dan NexQuantum 1 Sdn. Bhd., Taman Digital AI NexQuantum itu dibangunkan sebagai platform infrastruktur digital jangka panjang yang merangkumi lapan kemudahan pusat data mewakili anggaran pelaburan sebanyak RM1 bilion di Perak.
“Projek ini bertujuan menyokong permintaan digital generasi masa depan termasuk pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi, infrastruktur data selamat, perkhidmatan awan, keselamatan siber dan aplikasi digital perusahaan.
“Kami percaya ini mewujudkan asas yang kukuh untuk projek yang sedia AI, mampan dan selaras dengan transformasi ekonomi jangka panjang Perak. Ia menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 dengan membantu menarik pelaburan berkualiti tinggi, menggalakkan penyertaan vendor tempatan, menyokong pembangunan bakat dan menyumbang kepada negeri yang lebih progresif, berdaya saing pada masa depan,” katanya pada Majlis Perkongsian Strategik Taman Digital AI NexQuantum di sini semalam.
Turut berkenan berangkat hadir dan merasmikan majlis tersebut ialah Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Teng Boon menambah, Taman Digital AI NexQuantum bukan sekadar pembangunan hartanah di Perak semata-mata tetapi platform berdaya digital yang menyokong keperluan teknologi AI, perkhidmatan awan dan industri masa depan sehingga menjangkau sehingga seluruh Asia.
“Ia dijangka dapat menyokong infrastruktur digital dengan teknologi AI, penyertaan perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS) dan vendor tempatan serta wujudnya pekerjaan profesional berkemahiran tinggi.
“Selain itu, kerjasama dengan universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelaburan berasaskan teknologi yang mampan dan munculnya Perak sebagai lokasi ekonomi digital yang diyakini,” katanya. – UTUSAN










