KDN masih urus 14,000 kes anak tidak daftar setiap tahun - Utusan Malaysia

KDN masih urus 14,000 kes anak tidak daftar setiap tahun

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat beliau di Taman Sejahtera, Lunas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih berdepan sehingga 14,000 kes ibu bapa yang gagal mendaftarkan kelahiran anak mereka setiap tahun sehingga menimbulkan pelbagai masalah dokumentasi dan akses kepada kemudahan asas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu tersebut perlu ditangani segera kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri akan memberi kesan besar kepada masa depan kanak-kanak terbabit.

“Sepanjang tiga tahun saya di KDN, kita masih lagi menguruskan antara 13,000 hingga 14,000 kes setahun melibatkan ibu bapa yang langsung tidak mendaftarkan kelahiran anak.

“Ini akan menjadi permulaan kepada pelbagai masalah sekiranya tidak diperbetulkan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat beliau di Taman Sejahtera, Lunas.

Menurut beliau, tahun lalu sahaja kerajaan berjaya menyelesaikan hampir 13,000 kes membabitkan pelajar yang sudah berada dalam sistem persekolahan arus perdana tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, perkara itu berjaya diselesaikan hasil kerjasama antara KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam tempoh kira-kira enam bulan selepas senarai pelajar terbabit diserahkan.

“Daripada segi urusan harian pula, JPN sentiasa berdepan ribuan kes pendaftaran lewat kelahiran akibat pelbagai faktor. Kita bukan sahaja menunggu orang ramai datang ke pejabat, sebaliknya turut melaksanakan program outreach bagi mencari sendiri kes-kes seperti ini,” ujarnya.

Beliau berkata, antara usaha dilaksanakan termasuk membantu golongan anak jalanan di kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur yang sebelum ini tercicir daripada sistem dokumentasi negara.

“Anak-anak jalanan yang terbiar ini kita bantu selesaikan masalah dokumen mereka dan kini mereka sudah berada dalam sistem persekolahan kendalian KPM,” katanya.

Tambah Saifuddin, tindakan segera penting kerana pelbagai urusan harian termasuk persekolahan, rawatan hospital dan bantuan kebajikan kerajaan kini memerlukan penggunaan MyKad.

“Banyak inisiatif kerajaan kepada rakyat memerlukan dokumen pengenalan diri. Sebab itu KDN mengambil pendekatan menyelesaikan masalah ini segera mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN