Lima rakyat Itali maut tragedi selam di Maldives

Lima rakyat Itali maut tragedi selam di Maldives

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALE: Lima rakyat Itali maut dalam kemalangan selam skuba di Maldives, dengan pasukan keselamatan negara kepulauan Lautan Hindi itu baru menemukan satu mayat.

Rangkaian pulau karang itu merupakan destinasi percutian mewah yang popular dalam kalangan penyelam, yang kebanyakannya menginap di resort terpencil atau bot penginapan khas untuk aktiviti selaman.

“Susulan kemalangan yang berlaku semasa satu ekspedisi selam skuba, lima warga Itali disahkan maut di Vaavu Atoll, Maldives.

“Penyelam dipercayai maut ketika cuba meneroka gua pada kedalaman 50 meter,” menurut kenyataan ringkas kementerian luar di Rom.

Universiti Genoa memaklumkan mangsa termasuk seorang profesor biologi marin, anak perempuannya serta dua penyelidik muda.

Mereka gagal pulang selepas menyertai ekspedisi menyelam ke dalam gua di Vaavu Atoll, selatan ibu negara Malé.

Pegawai tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan selam terburuk pernah berlaku di negara yang mempunyai 1,192 pulau karang kecil merentasi garisan khatulistiwa di Lautan Hindi itu.

Pesawat dan bot laju dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat besar-besaran selepas kumpulan lima penyelam itu dilaporkan hilang pada petang Khamis, menurut Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) dalam satu kenyataan.

“Satu mayat telah ditemukan daripada lima penyelam yang melakukan aktiviti menyelam di Vaavu Atoll.

“Mayat ditemukan di dalam sebuah gua. Dipercayai empat lagi penyelam turut berada dalam gua sama yang mencecah kedalaman kira-kira 60 meter,” menurut kenyataan itu.

Polis memaklumkan keadaan cuaca di Vaavu Atoll bergelora pada Khamis dan amaran kuning dikeluarkan kepada bot penumpang serta nelayan.

MNDF berkata, sebuah kapal pengawal pantai berada di kawasan itu untuk menyelaras operasi pencarian sepanjang malam, manakala penyelam tambahan daripada pengawal pantai turut dihantar bagi membantu operasi.

Kemalangan berkaitan aktiviti menyelam dan sukan air dilihat agak jarang berlaku di negara Asia Selatan itu, namun beberapa insiden maut pernah dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Seorang pelancong wanita Britain maut ketika menyelam pada Disember lalu, manakala suaminya yang berusia 71 tahun meninggal dunia beberapa hari kemudian selepas jatuh sakit.

Seorang pelancong Jepun berusia 26 tahun pula dilaporkan hilang selepas ekspedisi menyelam berhampiran ibu negara pada Jun tahun lalu.

Laporan media tempatan menyebut sekurang-kurangnya 112 pelancong maut dalam insiden berkaitan laut di kepulauan itu sepanjang enam tahun lalu, dengan 42 daripadanya terkorban akibat kemalangan menyelam atau snorkeling.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN