KUANTAN: Kerja-kerja mendalamkan sungai di kawasan hilir dan muara tidak boleh disamakan dengan aktiviti perlombongan pasir biasa kerana ia turut berfungsi sebagai langkah mitigasi banjir serta pengurusan sistem sungai negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mendapan pasir di kawasan hilir dan muara berlaku secara semula jadi akibat hakisan tanah, pergerakan arus serta aliran sungai yang berterusan sehingga menyebabkan dasar sungai menjadi semakin cetek.
Kata beliau, keadaan itu boleh menjejaskan sistem saliran sungai selain meningkatkan risiko limpahan air dan banjir terutama ketika musim tengkujuh serta hujan lebat.
“Kerja-kerja pengorekan dan mendalamkan sungai di kawasan tertentu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti ekonomi atau perlombongan pasir. Hakikatnya, ia adalah sebahagian daripada langkah mitigasi banjir dan pengurusan sungai yang penting demi keselamatan rakyat serta kelestarian sistem sungai di negeri ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, sekiranya kerja mendalamkan sungai tidak dilaksanakan melalui kaedah konsesi pasir yang terkawal, kerajaan negeri terpaksa menanggung kos tinggi menggunakan peruntukan awam bagi penyelenggaraan sungai dan pelaksanaan langkah tebatan banjir secara berterusan.
Katanya, sekatan permit eksport pasir sungai oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini turut memberi kesan langsung kepada operasi industri pasir di negeri ini, khususnya di kawasan hilir dan muara sungai yang memerlukan kerja pendalaman berkala.
“Isu eksport pasir sungai tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya dari sudut keuntungan komersial semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam konteks lebih luas melibatkan pengurusan alam sekitar, mitigasi banjir, peluang ekonomi serta hasil negeri.
“Insya-Allah, pada minggu hadapan kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi membincangkan isu ini secara menyeluruh demi memastikan kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat dan peningkatan hasil negeri dapat dijana dengan sebaik-baiknya,” katanya. – UTUSAN










