MIMF 2026 sasar 10,000 pengunjung, perkukuh hab industri ASEAN - Utusan Malaysia

MIMF 2026 sasar 10,000 pengunjung, perkukuh hab industri ASEAN

ABU Hassan Mohd Nor (tujuh dari kanan) bersama penganjur dan rakan strategik pada sidang media Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-37 (MIMF 2026) di MITEC semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-37 (MIMF 2026) dijangka menarik lebih 10,000 pembeli perdagangan profesional, pelabur dan pemain industri dari dalam serta luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan pintar dan teknologi industri utama di ASEAN.

Penganjuran acara yang bakal berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Julai ini mampu memperkukuh rantaian bekalan industri serantau selain membuka peluang kerjasama strategik dalam sektor automasi, pendigitalan dan teknologi pembuatan berteraskan Industri 4.0.

Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor berkata, edisi kali ini diadakan tepat pada masanya ketika pemain industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) giat beralih daripada kaedah konvensional kepada penggunaan teknologi pintar dan automasi.

“Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga kerja, malah menjadikan produk kita lebih kompetitif untuk dieksport ke pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MIMF 2026, semalam.

Menurut Abu Hassan, platform itu memberi peluang kepada usahawan tempatan melihat sendiri teknologi industri terkini tanpa perlu lagi ke luar negara seperti Jerman atau China.

“Kita mahu meningkatkan peratusan produk sedia eksport daripada sekitar 15 hingga 20 peratus ketika ini kepada 30 hingga 40 peratus pada masa hadapan dan ini adalah fokus utama kami bersama penganjur bagi memastikan perusahaan tempatan mampu melangkah lebih jauh,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Puan Seri Dr Susan Cheah berkata, MIMF kini berkembang daripada pameran perdagangan konvensional kepada hab pemindahan teknologi dan kerjasama rentas sempadan.

“Melalui kerjasama erat dengan rakan kongsi dari China dan institusi luar negara lain, PROMAS terus menjadi jambatan yang menghubungkan perusahaan Malaysia dengan pembeli serta pelabur global bagi memangkinkan usaha sama jangka panjang,” katanya.

MIMF 2026 bakal menampilkan lebih 700 reruai dengan penglibatan 70 peratus pempamer antarabangsa termasuk dari China, Korea Selatan, Jerman dan Jepun.

Selain pameran jentera pemprosesan makanan, plastik dan pembungkusan, MIMF 2026 turut memberi tumpuan khas kepada teknologi pembuatan halal bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.

MIMF 2026 dianjurkan oleh ES International Event Management Sdn Bhd dengan sokongan rasmi daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN