RANTAU PANJANG: Banjir di kawasan Rantau Panjang bertambah teruk apabila jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,157 orang berbanding 600 sebelum ini.
Laman sesawang InfoBencanaJKM setakat pukul 9 pagi tadi melaporkan kesemua mangsa itu ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, PPS Putat 7, SK Kubang Kual, SK Gual Periok dan Masjid Mukim Padang Licin.
Daripada jumlah tersebut, SK Tok Deh menempatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 590 orang, diikuti SK Gual Periok (323), SK Kubang Kual (115), PPS Putat 7 (83) dan Masjid Mukim Padang Licin (46).
Menurut aplikasi MyPublic Infobanjir, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi paras amaran iaitu 9.58 meter manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat peringkat amaran.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, paras air Sungai Golok ketika ini masih lagi bertahan.
Katanya, rondaan berkala sentiasa dilakukan di beberapa lokasi panas seperti kawasan Bandar Lama, Pok Teh Kana, Tasek Garu, Padang Licin dan Putat 7. – UTUSAN










