fbpx

Ibu bapa garang antara punca remaja lari rumah

KERATAN laporan Utusan Malaysia 6 Disember 2022.

PETALING JAYA: Ibu bapa garang dan tidak mesra adalah antara punca ada remaja lari dari rumah bagi mendapatkan kebebasan atau mengikut teman lelaki.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md Nor berkata, anak-anak berusia antara 13 hingga 15 tahun memerlukan pendekatan bijak daripada ibu bapa.

“Ibu bapa garang juga menjadi salah satu punca. Ada dalam kalangan remaja ini yang merasakan mereka tidak bersama-sama kumpulan atau keluarga mereka sendiri kerana komunikasi antara mereka dan ibu bapa terbatas.

“Masih ramai ibu bapa yang garang, tetapi masih boleh bermesra dengan anak-anak mereka. Sekarang ini kita membincangkan konteks bagi ibu bapa yang garang dan tidak mesra.

“Apabila mereka tidak mesra, itu membuatkan anak-anak mencari ruang, tempat atau individu yang mereka boleh salurkan serta zahirkan keinginan masing-masing,” jelasnya.

Mengikut statistik pada 2020 hingga September lalu, seba­nyak 2,066 kanak-kanak hilang dilaporkan dan daripada jumlah itu, kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun adalah kumpulan paling ramai hilang iaitu 1,119 orang diikuti 16 hingga 18 tahun (793), bawah enam tahun (105) dan tujuh hingga 12 tahun (109).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan analisis, punca ter­tinggi mangsa hilang kerana mengikut kawan iaitu 422 kes diikuti mahu mencari kebebasan (413) dan selebihnya ikut kekasih (364).

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, berdasarkan kajian beliau, remaja mengambil keputusan untuk lari dari rumah kerana pengaruh rakan sebaya serta terpengaruh media massa.

“Faktor keibubapaan adalah penyumbang kecil, namun, rakan sebaya kerap menjadi pe­ngaruh utama bagi remaja buat keputusan keluar dari rumah. Media massa pula kerap memberikan gambaran yang berbeza dengan realiti.

“Menerusi pelbagai platform media sosial, remaja akan membentuk sahsiah dan keperibadian mereka menerusi contoh yang mereka tonton itu. Mereka membentuk identiti dengan tercari-cari pengesahan atau tafsiran kumpulan keliling mereka.

“Dalam lingkungan usia 13 hingga 15 tahun, anak-anak ini lebih percaya orang luar malah ada yang menganggap keluarga sendiri sebagai entiti asing dalam hidup mereka,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN